Penduduk setempat yang hadir bagi mendapatkan suntikan vaksin di Program Vaksinasi COVID-19 ketika di Pusat Kebudayaan Soka Gakkai Malaysia, Taman Desawan, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 18 JULAI 2021.

KLANG – Kes kematian harian akibat Covid-19 di Selangor berpunca daripada mereka yang tidak sempat divaksin atau tidak menerima imunisasi, kata Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata, punca kedua ialah kebanyakan yang meninggal kerana Covid-19 itu kerana mereka sudah berusia warga emas dan golongan rentan.

“Kematian yang tinggi ini sebahagiannya kerana tidak sempat divaksin atau tidak menerima imuniti. Keduanya, sudah pasti disebabkan oleh kerana mereka adalah warga emas dan golongan rentan.

“Bagaimanapun, kita jangkakan perkara ini dapat diselesaikan setelah hampir 90 peratus warga emas yang mendaftar dengan MySejahtera telah divaksin.

“Kita juga dapati kes kematian yang melibatkan warga emas ini telah menurun hampir 40 peratus,” katanya kepada pemberita selepas melancar dan melawat Program Vaksinasi Covid-19 di Taman Desawan, dekat Klang, hari ini.

Kata beliau, kerajaan negeri dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Pihak berkuasa Tempatan (PBT), Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan kerajaan pusat sentiasa berusaha untuk memastikan semua penduduk di negeri itu menerima vaksinasi masing-masing.

Pendekatan baharu dilaksanakan kerajaan iaitu mencari dan menyediakan tempat yang sesuai di satu-satu lokaliti atau kawasan untuk membuka pusat vaksinasi bagi melindungi penduduk daripada mendapat kesan perebakan virus Covid-19.

“Kerajaan negeri akan melaksanakannya mengikut kesesuaian, yang mana selepas ini akan ditumpukan di kawasan PKD Bukit Tinggi, dekat Klang.

“Ini adalah format baharu bagaimana kita menangani perebakan virus ini di sesuatu tempat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast