ADUN Dengkil, Adhif Syan Abdullah beramah mesra dengan petugas kesihatan semasa mengadakan lawatan pada Program Pemberian Vaksin Bergerak di Balairaya Kampung Orang Asli, Bukit Tadom, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 18 JULAI 2021.

DENGKIL – Bilangan penerima vaksin Covid-19 dalam kalangan masyarakat Orang Asli Bukit Tadom, di sini meningkat hampir 100 peratus, demikian kata Ahli Dewan Negeri Dengkil, Adhif Syan Abdullah.

Beliau berkata, kenaikan itu terjadi apabila pemimpin masyarakat pribumi itu sendiri memujuk dari rumah ke rumah untuk meyakinkan bahawa vaksin Covid-19 selamat diambil bagi membasmi pandemik itu.

“Sambutan orang asli untuk mengambil vaksin menunjukkan kenaikan hampir 100 peratus dan naik secara mendadak.

“Mereka ini balik kampung masing-masing dia akan bercerita melalui media sosial kongsi pengalaman mereka vaksin tak beri kesan kepada kesihatan.

“Kalau kita tengok yang walk-in (pusat pemberian vaksin bergerak) bertambah ramai,” katanya kepada pemberita di Balai Raya Kampung Orang Asli Bukit Tadom, hari ini.

Dalam pada itu, program imunisasi secara bergerak di DUN Dengkil kini memasuki fasa kelima dan jumlah penerima meningkat sehingga 320 orang.

“Lihat hari ini sebelum siri pertama ada 100 lebih, kemudian 200 lebih dan hari ini lebih 300 orang.

“Ini menunjukkan corak semakin bertambah dan kita harap masyarakat Orang Asli boleh terus ke PPV dalam kawasan sekitar.

“Kehadiran hari ini seramai 320 orang dan sambutan memang agak menggalakkan dan saya harap program ini menjelang September ini boleh mencapai 90 peratus komuniti imuniti,” katanya.

Bagi tujuan itu juga, Adhif Syan mendedahkan satu lagi PPV Mega baharu akan dibuka di Pusat Latihan Petronas, Sepang dalam masa terdekat.

“Kita melihat PPV Mega semakin banyak dibuka seperti Movenpick, MMU Cyberjaya dan PPV baharu akan dibuka di Pusat Latihan Petronas.

“Sehari PPV di Pusat Latihan Petronas mempunyai kapasiti harian 3,000 dos, sama seperti MMU Cyberjaya,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.