MOSCOW – Pembuat pesawat Rusia akan mendedahkan jet pejuang baharu pada pertunjukan udara Moscow, minggu depan.

Pesawat baharu yang diselubungi dengan kain ditunda ke kawasan pakir lapangan terbang Zhukovsky, dekat Moscow, di mana Pertunjukan Udara Antarabansga MAKS 2021 akan dirasmikan pada Selasa ini.

Presiden Vladimir Putin dijadual melawat pertunjukan udara itu.

Media Rusia melaporkan jet pejuang baharu itu dibina oleh pembuat pesawat, Sukhoi, menerusi program pembangunan pesawat pejuang taktikal ringan, lapor AP.

Tidak seperti pesawat pejuang stealth dua enjin baharu, Su-57, jet pejuang baharu ini lebih kecil dan dilengkapi dengan satu enjin.

Namanya masih belum diketahui dan tiada maklumat mengenai keupayaaan dan di mana ia akan ditempatkan.

Syarikat milik kerajaaan, Rostec berkata, ‘asas pesawat tentera baharu’ itu akan didedahkan pada pertunjukan tersebut, Selasa ini.

Bagi menarik perhatian masyarakat, sebelum ia didedahkan, Rostec menyiarkan gambar pesawat baharu yang dilitupi kanvas yang tertulis ‘Mahu lihat saya bogel?’.

Ia turut menyiarkan klip video untuk menarik perhatian pelanggan asing.

Berikutan pengumuman Rostec, peminat kapal terbang Rusia bergegas ke Zhukovsky untuk merakam gambar pesawat baharu itu.

“Rusia merupakan salah sebuah negara yang mempunyai kitaran penuh keupayaan untuk menghasilkan sistem pesawat terkini dan menjadi pencetus penghasilan pesawat pejuang,” kata Rostec. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast