Zulkifli.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) serta Jabatan Alam Sekita (JAS) siasat dalang di sebalik kegiatan  tapak pelupusan sampah haram di Batu Maung.

Pegawai Luar Bandar CAP, Zulkifli Yusuf berkata, kegiatan pelupusan sampah secara haram itu bukan saja mampu menjejaskan alam sekitar malah boleh mengancam pembiakan hidupan laut.

Jelas beliau, kehidupan nelayan tempatan juga akan terjejas jika sampah-sampah itu dibawa arus hingga ke muara sungai.

“Sebelum ini CAP terima aduan terdapat banyak sampah di kawasan pantai dan muara sungai tetapi tidak tahu punca sebenar masalah tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN : 

Wujud tapak pelupusan sampah haram di Batu Maung?

“Kita minta MBPP dan JAS siasat dalang kegiatan itu dan mengambil tindakan undang-udang di bawah Akta Kerajaan Tempatan dan Kualiti Alam Sekitar 1974.

“Selain itu, kita turut menggesa pihak berkenaan mendedahkan hasil siasatan kepada umum melalui media termasuk tindakan yang diambil,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Zulkifli, pihaknya juga berharap pihak MBPP dan JAS melakukan pemantauan berterusan agar perkara yang sama tidak berulang. – MalaysiaGazette