Penduduk orang asli bergambar selepas menerima suntikan vaksin pada Program Pemberian Vaksin Bergerak di Balairaya Kampung Orang Asli, Bukit Tadom, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 18 JULAI 2021.

DENGKIL – Vaksin Covid-19 bukan sesuatu yang asing buat orang asli kerana selepas jampi serapah, perubatan moden menjadi kepercayaan mereka jika menghidapi sesuatu penyakit.

Perkara itu diakui sendiri salah seorang warga emas Kampung Orang Asli Bukit Tadom, di sini, iaitu Boboy Anak Bujang, 80, yang menyifatkan vaksin tersebut sebagai pelindung diri daripada Covid-19.

“Jangan takut apa-apa, vaksin buat lindung nyawa.

Boboy bercakap kepada media selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer pada Program Pemberian Vaksin Bergerak di Balairaya Kampung Orang Asli, Bukit Tadom, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 18 JULAI 2021.

“Saya percaya (vaksin), tangkal pun percaya, ubat pun percaya, orang Asli ini ada dua saja (ubat), satu doktor, satu lagi jampi.

“Kalau penyakit tak boleh berjampi pergi jumpa doktor lah,” katanya kepada pemberita di Balai Raya Kampung Bukit Tadom, hari ini.

Dalam pada itu, Boboy tidak menafikan dia agak gementar untuk mengambil vaksin dek kerana berita palsu yang disebarkan dalam media sosial sebelum ini.

“Nak ambil vaksin Covid-19 memang takut, kena cucuk vaksin takut juga, disebabkan penyakit yang kita tak nampak itu terpaksa ambil juga lah,” katanya.

Amit Wek bercakap kepada media selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer pada Program Pemberian Vaksin Bergerak di Balairaya Kampung Orang Asli, Bukit Tadom, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 18 JULAI 2021.

Bagi seorang lagi orang asli, Amit Wek, 54, penerimaan masyarakat pribumi terhadap vaksin semakin baik selepas pemimpin mereka atau tok batin mengambilnya terlebih dahulu.

“Saya baru ambil satu dos, saya percaya vaksin selamat lepas tok batin ambil dulu, terpaksa anak buah pun ambil.

“Tok batin cuba dulu, kalau tok batin tumbang, anak buah pun berterabur.

“Orang Asli satu saja kalau tok batin tumbang, anak buah dia mesti terabur,” katanya.

Jemah Bencah bercakap kepada media selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer pada Program Pemberian Vaksin Bergerak di Balairaya Kampung Orang Asli, Bukit Tadom, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 18 JULAI 2021.

Bagi Jemah Bencah, 51, dia boleh menerima vaksin ini selepas doktor menjelaskan bahawa ia selamat diambil dan sebagai penyembuh kepada penyakit di dalam badan.

“Vaskin ini ubat untuk kuman dalam badan kita, saya tertarik pula, sebab itu saya nak vaksin ini.

“Lebih baik tanya doktor cakap vaksin ini ubat untuk badan kita sebab itu saya nak juga.

“Suntikan ini rasa tak ada apa-apa lah, sebelum tu rasa takut, berdiri bulu roma, rasa takutlah, jantung dup-dap,” katanya.

Jasni Nyok bergambar selepas menerima suntikan vaksin pada Program Pemberian Vaksin Bergerak di Balairaya Kampung Orang Asli, Bukit Tadom, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 18 JULAI 2021.

Sementara itu, Jasni Nyok, 58, setelah mengambil vaksin Covid-19, dia yakin apa yang dimaklumkan kerajaan sebelum ini benar berbanding khabar angin di media sosial.

“Ada juga dengar khabar angin kata vaksin bahaya, tapi kita buat tak tahu jer, kita tengok lepas itu kita padam jer lah.

“Saya tak layan dia sebab apa yang kerajaan uar-uarkan tu betul laa.

“Lebih baik kita ambil vaksin sebab kita nak jaga diri kita, keluarga kita jadi, kita kena mencegah sebelum kena,” katanya lagi. – MalaysiaGazette