Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) memandang serius dakwaan termasuk suntik vaksin kosong di beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Menurut badan itu, CITF tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana pertugas yang tidak mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

“Sekiranya didapati bersalah, CITF tidak akan teragak-agak untuk menamatkan perkhidmatan petugas yang terlibat dan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang berkenaan perkara ini.

“Seperti mana prosedur operasi standard (SOP), setiap petugas vaksinasi perlu menunjukkan picagari yang berisi vaksin kepada penerima vaksin sebelum suntikan dilakukan,” kata badan itu hari ini.

Penerima vaksin juga dinasihatkan untuk melihat picagari tersebut sebelum dan selepas proses vaksinasi bagi menambah keyakinan bahawa dos dan suntikan vaksin telah diberikan seperti yang sepatutnya.

CITF berkata terdapat satu aduan di PPV Kem Lapangan Terbang Sungai Petani di mana terdapat penerima bukan daripada kalangan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan ahli keluarga mereka.

“Satu siasatan telah dijalankan oleh pihak ATM mengenai kejadian tersebut di mana individu-individu yang terlibat telah dipanggil untuk memberi penjelasan.

“Tindakan tatatertib telah diambil ke atas petugas vaksinasi tersebut,” demikian menurut CITF.

PPV Kem Lapangan Terbang Sungai Petani dibuat untuk pemberian vaksin kepada anggota tentera dan ahli keluarga mereka yang dilaksanakan petugas Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT).

Dalam pada itu, CITF turut memberitahu, ada dua laporan mengenai suntikan vaksin kosong daripada penerima.

“Di PPV Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), kejadian didakwa telah berlaku pada 17 Julai 2021 dan orang awam yang terlibat telah membuat laporan polis.

“Di PPV Bangi Avenue Convention Centre (BACC), dakwaan mengenai suntikan palsu ini telah dibuat pada 18 Julai 2021 dan laporan polis telah dibuat oleh penyedia perkhidmatan kesihatan (HCO) terbabit,” kata CITF lagi.

Badan itu berkata pihak polis sedang menjalankan siasatan terhadap laporan itu.- MalaysiaGazette