Sukarelawan dari kalangan pelajar membantu warga emas yang hadir bagi mendapatkan suntikan vaksin pada hari pertama pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (SASMEC @IIUM), Kuantan. Foto MOHD ADZLAN, 19 JULAI 2021.

KUANTAN – Menjadi sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) merupakan pengalaman yang paling ditunggu-tunggu mahasiswa  di Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (SASMEC @IIUM).

Amir Ridzwan Maula Mohd Nasir, 24, pelajar perubatan di Institut Pengajian Tinggi (IPT) itu berkata, menjadi sukarelawan  merupakan pendedahan yang baik untuk terus mempertingkatkan kemahiran.

Sukarelawan pelajar perubatan, Amir Ridzwan Maula Mohd Nasir, 24 di temu ramah ketika di hari pertama pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (SASMEC @IIUM), Kuantan. Foto MOHD ADZLAN, 19 JULAI 2021.

“Saya rasa saya sebagai perubatan saya perlu memberi kembali kepada komuniti, masyarakat membantu setakat saya mampu.

“Dengan menyertai sukarelawan memberi saya pengalaman yang berharga untuk saya mengasah kemahiran insyAllah sebagai doktor perubatan suatu hari nanti,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Amir merupakan antara 180 mahasiswa SASMEC @IIUM yang menjadi sukarelawan di PPV yang bermula hari ini.

PPV itu merupakan PPV IPT yang menggunakan fasiliti dan tenaga kerja sendiri.   

Sukarelawan pelajar perubatan, Mohamad Azhan Awang, 24 di temu ramah ketika di hari pertama pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (SASMEC @IIUM), Kuantan. Foto MOHD ADZLAN, 19 JULAI 2021.

Dalam pada itu, Mohamad Azhan Awang, 24, pelajar perubatan tahun keempat berpendapat menjadi sukarelawan untuk PPV SASMEC @IIUM sebagai salah satu cara mempersiapkan dirinya sebelum masuk ke bidang pekerjaan.

“Sekarang saya tengah dalam posting community medicine jenis posting ini tidak perlu ke hospital hanya belajar dalam talian

“Jadi kalau kelas dalam talian, kelas ada record saya boleh belajar balik pada waktu malam dan ikut sukarelawan,” menurutnya.

Tambahnya, sebagai pelajar perubatan hubungan dengan masyarakat amat penting.

“Sebagai pelajar perubatan kena ada sikap untuk menjadi sukarelawan dalam diri kita contohnya program vaksinasi ini supaya bila pandemik berakhir saya tahu saya ada sumbangkan sesuatu,” menurut mahasiswa yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan  itu.

Ketua sukarelawan SASMEC, Farah Nadia Rahmat, 28 di temu ramah ketika di hari pertama pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (SASMEC @IIUM), Kuantan. Foto MOHD ADZLAN, 19 JULAI 2021.

Selaku Ketua Sukarelawan PPV SASMEC, Farah Nadia Rahmat, 28, bangga melihat semangat dan keterujaan para pelajar universiti untuk turut serta menyumbangkan tenaga.

Beliau berkata, ia merupakan peluang untuk membantu petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus bekerja dalam waktu pandemik ini dan dalam masa sama dapat memastikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berjalan dengan lancar.

“Permintaan pelajar di sini untuk menjadi sukarelawan memang memberangsangkan.

“Bagi saya ini adalah peluang penuntut, salah satu cara untuk membantu barisan hadapan kita dalam masa yang sama dapat melihat keadaan sebenar macam mana rakyat Malaysia  mendapatkan vaksin,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast