KUALA LUMPUR – Kerajaan membuat sedikit perubahan pada prosedur operasi standard (SOP) di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi Fasa 1 dan Fasa 2.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perubahan itu bagi meningkatkan kehadiran di pejabat bagi sektor awam kepada 40 peratus dan tertakluk arahan Ketua Setiausaha Negara (KSN).
Katanya, keputusan itu dibuat berdasarkan perkembangan positif kadar vaksinasi negara ketika ini.
Menurut beliau, perubahan itu juga turut melibatkan perkhidmatan perakaunan yang dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 60 peratus.
“Operasi pasar harian dan pasar awam dilanjutkan dari jam 6 pagi hingga 4 petang tertakluk kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan pematuhan SOP dan pengawasan anggota RELA atau PBT.
“Bagi waktu operasi Pasar Segar Terkawal (PST) pula akan dilanjutkan dari jam 7 pagi hingga 2 petang manakala aktiviti berbasikal dan permainan individu yang boleh mengamalkan penjarakan fizikal dua hingga tiga meter dibenarkan di kawasan kejiranan sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ismail Sabri berkata, pelabuhan, lapangan terbang dan sektor logistik turut dibenarkan beroperasi 24 jam.
Begitu juga katanya, pengoperasian lombong dan kuari dibenarkan dengan kapasiti pekerja sehingga 60 peratus tertakluk kepada SOP Perlombongan dan Pengkuarian.
“Ini bagi memenuhi keperluan kepada projek kritikal yang melibatkan pembaikan dan pembinaan jalan raya, jalan-jalan luar bandar serta persekutuan.
“Bagi Fasa 2, penggambaran filem di luar studio dibenarkan dengan pematuhan SOP ketat manakala waktu operasi premis perniagaan dari jam 6 pagi hingga 10 malam termasuk stesen minyak,” katanya.
Sementara itu, kata beliau, esok umat Islam akan menyambut dan meraikan Hari Raya Aidiladha dalam keadaan berjauhan daripada ibu bapa, keluarga dan kampung halaman.
Menurutnya, cabaran pengorbanan itu akan dilalui bersama demi kesejahteraan dan keselamatan insan yang tersayangi.
“Semoga Hari Raya Korban ini memberi iktibar kepada kita mengenai erti ‘pengorbanan’ iaitu untuk bersama-sama melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19 dan membantu negara pulih sepenuhnya.
“Bagi solat sunat Aidiladha, pastikan anda semua mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri masing-masing.
“Hanya diri kita yang boleh jaga nyawa kita sendiri, selain ketentuan Ilahi. Kita mesti menang,” katanya. – MalaysiaGazette