Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Mohd. Hairi Mad Shah.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Johor mendesak pengurusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menetapkan 23 Julai ini sebagai tarikh baharu untuk proses mendapatkan tandatangan semua peneroka yang terlibat dengan proses penghapusan hutang.

Ketuanya, Mohd Hairi Mad Shah berkata, langkah itu adalah bagi memberi ruang untuk penjelasan dan sesi hebahan ke setiap Tanah Rancangan Felda.

Menurutnya, pengurusan Felda perlu menjelaskan apa jua syarat atau terma yang akan dikenakan tanpa ada sorok dan selindung supaya tidak berlaku masalah di kemudian hari kepada pewaris dan generasi baharu Felda.

“Minggu lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion secara bersyarat.

“Menurut beliau, persetujuan itu mengambil kira isu hutang peneroka yang disifatkan harus diperbetulkan terlebih dahulu untuk memudahcarakan proses penjanaan semula atau restart Felda.

“Berdasarkan inisiatif berkenaan, purata bayaran balik pinjaman dijangka berkurangan daripada sekitar RM800 hingga RM1,000, kepada hanya RM250 hingga RM300 sebulan bagi peneroka sawit dan serendah RM150 bagi peneroka getah.

“Namun, saya difahamkan beberapa hari selepas pengumuman itu, pegawai-pegawai Felda di tanah rancangan mula bergerak rumah ke rumah peneroka untuk pastikan setiap peneroka bersetuju dan menerima penghapusan hutang ini dengan menurunkan tanda tangan mereka ke atas perjanjian yang dibawa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau mempersoalkan, mengapa terlalu tergesa-gesa melaksanakan perkara itu untuk meminta tandatangan peneroka seperti ‘memaksa’ tanpa ada penerangan, sesi perjumpaan atau hebahan bagi membolehkan peneroka, generasi yang mewarisi peneroka dan seluruh warga Felda mendapat maklumat dan penerangan yang sebenarnya.

“Jangan cuba wujudkan jurang atau gap informasi seperti ini, apabila wujud jurang atau gap, jangan pula dimarahkan peneroka atau warga Felda apabila muncul persoalan, persepsi atau andaian, kerana anda sendiri, kerajaan dan pengurusan Felda yang mewujudkan ruang untuk semua andaian dan persepsi ini muncul,” katanya.

Mohd Hairi berkata, perkara seperti itu bukanlah kali pertama berlaku kerana sebelum ini ia pernah terjadi.

Justeru katanya, pengurusan Felda perlu belajar daripada kesilapan sebelum ini dan tidak terus menganiaya dengan menjadikan peneroka sebagai mangsa ‘polisi baharu’ yang menjerat mereka sendiri.

Tambahnya, jika benar inisiatif diumumkan itu tidak membabitkan pengambil alihan semula tanah atau pelbagai lagi persoalan dan dakwaan yang timbul sekarang ini, mereka perlu menyatakan kebenaran dengan memperjelas kepada warga peneroka.

Katanya lagi, pengumuman mahu mengutip tanda tangan seolah-olah memperlihatkan pengurusan Felda tidak adil kepada peneroka-peneroka yang mempunyai baki hutang yang sedikit, dilupuskan pinjaman tetapi perlu diserahkan pula tanah, berbanding peneroka yang masih memiliki jumlah hutang yang tinggi dan rasa berbaloi untuk dilupuskan hutang.

“Sepatutnya satu terma lain perlu diberikan buat peneroka yang tidak memiliki hutang yang banyak atau baki hutang yang sedikit supaya hak lebih adil buat mereka dapat diberikan,” ujarnya. – MalaysiaGazette