Gambar hiasan

SEJAK wabak Covid-19 melanda, ramai pihak telah terjejas apatah lagi apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan. Ramai telah diberhentikan kerja serta tidak dapat berniaga seperti biasa kerana mengikuti SOP yang telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan.

Oleh itu, mereka yang telah terjejas pendapatan ini perlu mengambil ikhtiar untuk bangun semula bagi membina hidup mereka semula.Mereka yang tinggal di bandar mungkin terpaksa mencari ikhtiar sendiri seperti menyertai sektor gig ekonomi seperti menjadi pemandu Grab atau Food Panda.

Tetapi bagaimana pula mereka yang tinggal di luar bandar? Menurut Dr Ismail Omar yang merupakan seorang pensyarah di Universiti Tun Hussien Onn di dalam tulisan beliau di surat khabar Berita Harian bertarikh 10 November 2020, terdapat lebih kurang 30,000 hektar tanah wakaf dalam negara ini tetapi hanya 12 peratus (3,600 hektar) yang telah dimajukan kerana terdapat beberapa halangan seperti lokasi yang tidak strategik serta tidak mempunyai saiz yang ekonomik untukmembuat pembangunan.

Namun demikian, bagi membangunkan tanah wakaf ini kerajaan negeri yang memegang kuasa pentadbiran majlis agama Islam negeri boleh memberikan kelonggaran bagi menggunakan tanah wakaf tersebut dengan cara memajak tanah tersebut dengan bayaran pajak tersebut dibayar kepada majlis agama Islam yang merupakan pemegang amanah kepada tanah wakaf tersebut. Dengan cara tersebut, tanah wakaf tersebut boleh diusahakan di samping dapat memberikan pulangan kepada majlis agama Islam negeri yang berkaitan.

Di zaman Saidina Umar yang merupakan khalifah kedua umat Islam selepas Rasulullah sallahualaihi wa sallam dan Saidina Abu Bakar, beliau telah berkata bahawa barang siapa yang mengusahakan tanah terbiar maka tanah tersebut akan menjadi miliknya merupakan suatu gesaan kepada umat Islam agar mengusahakan tanah terbiar dan kemudiannya sebahagian daripada hasil tersebut dapat memberi manfaat kepada kerajaan dan dapat diberikan sebagai zakat kepada mereka yang memerlukan.

Namun demikian, berbeza dengan konteks negara kita kerana tidak boleh sewenang-wenangnya mengusahakan tanah terbiar tanpa keizinan tuan tanah atau pihak kerajaan. Oleh itu, bagi mengurangkan lagi pengganguran dalam kalangan belia diharapkan pihak majlis agama Islam negeri-negeri dapat memberikan kelonggaran serta menghebahkan kepada para belia yang ingin mengusahakan tanah sama ada bagi kegunaan pertanian atau perniagaan.

Dengan kerjasama yang dijalankan di antara dua pihak iaitu di antara pengusaha bersama majlis agama Islam negeri ia dapat memberikan manfaat kepada dua pihak yang berkaitan seterusnya dapat menyumbang kembali kepada mereka yang memerlukan di dalam negeri tersebut. Di antara contoh kejayaan tanah wakaf ini ialah pembangunan tanah wakaf di kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur yang terletak berdekatan dengan Menara Berkembar Petronas.

Tanah yang telah diwakafkan oleh Allahyarham Ahmad Dawjee Dadabhoy seorang Muslim yang berasal dari Gujerat, India telah mewakafkan sebidang tanah milik beliau kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan sebelum Allahyarham meninggal dunia. Di atas tanah tersebut kemudiannya telah dibangunkan sebuah menara yang dijadikan ibu pejabat bagi Bank Islam Malaysia Berhad.

Di samping itu juga pembangunan tanah wakaf Setee Aisah di Seberang Jaya Pulau Pinang sebagai kawasan perumahan telah memberikan pulangan yang lumayan kepada pihak Majlis Agama Islam Pulau Pinang seterusnya dapat menjaga kemaslahatan umat Islam di negeri tersebut. Oleh itu diharapkan dengan pembangunan tanah wakaf ini ia dapat dapat mengurangkan lagi pengangguran dalam kalangan belia dan juga dapat memberikan manfaat kepada umat di dalam negeri tersebut.

Nazmi Ashraf Mohd Nazim
Felo Penyelidik Majlis Belia Malaysia