Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dalam lawatannya di pusat Pemberian Vaksin (PPV) integrasi mega Mid Valley Southkey, di sini, semalam.

JOHOR BAHRU – Johor membuka Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega pertama bertempat di pusat beli-belah dalam usaha mencapai sasaran pemberian antara 50,000 hingga 60,000 dos sehari.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, PPV South Key Midvalley mampu mempercepatkan pemberian vaksin kepada rakyat negeri ini terutama di kawasan padat penduduk di Johor Bahru.

“PPV South Key Midvalley adalah PPV mega pertama beroperasi di pusat beli-belah di negeri ini dan hasil kerjasama pihak kerajaan  dan swasta menerusi Kementerian Kesihatan, Kementerian  Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) Healthcare Berhad.

“PPV South Key Midvalley akan mula beroperasi hari ini dari jam 8 pagi hingga 9 malam,” katanya menerusi kenyataan medianya hari ini.

Katanya, PPV mega itu adalah hasil kerjasama kerajaan dan swasta menerusi Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) Healthcare Berhad.

Beliau mengakui, pembukaan lebih banyak PPV mega di Johor amat penting bagi membantu negeri itu mencapai sasaran 80 peratus rakyat menerima suntikan vaksin.

“Kita di Johor sudah bersiap sedia dengan kapasiti pemberian suntikan vaksin antara 50,000 hingga 60,000 dos sehari.

“PPV mega ini penting kerana kita harapkan ia dapat membantu rakyat diberi vaksin seberapa segera,”katanya.

Hasni turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menguruskan PPV berkenaan terutama 238 kakitangan perubatan dan sokongan.

“Saya rasa seluruh negara berbangga dengan pengorbanan masa dan tenaga sukarelawan daripada pelbagai pihak untuk membantu negeri dan negara kita bagi menjayakan program vaksinasi ini.

“Seramai 283 kaki tangan perubatan dan sokongan daripada tujuh hospital pakar KPJ, iaitu Hospital Pakar KPJ Johor, Hospital Pakar KPJ Puteri, Hospital Pakar KPJ Pasir Gudang, Hospital Pakar KPJ Bandar Dato’ Onn, Hospital Pakar KPJ Kluang, Hospital Pakar KPJ Batu Pahat melaksanakan proses pemberian vaksin di PPV berkenaan.

“Hospital Pakar KPJ Bandar Maharani turut membantu melancarkan proses pemberian vaksin ialah sukarelawan daripada Malaysia Vaccine Support Volunteers, (MyVac),” katanya. -MalaysiaGazette