Warga emas yang membuat pemeriksaan kesihatan sebelum mendapatkan suntikan vaksin pada hari pertama pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (SASMEC @IIUM), Kuantan. Foto MOHD ADZLAN, 19 JULAI 2021.

KUANTAN – Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (SASMEC @IIUM) mula beroperasi sebagai salah satu Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di daerah Kuantan pada hari ini.

Pengarah SASMEC, Datuk Dr Mohamed Saufi Awang berkata, PPV Institut Pengajian Tinggi (IPT) berkenaan diamanahkan untuk membantu mencapai sasaran 80 peratus penduduk Kuantan yang divaksin menjelang November kelak.

“Kami harap dengan beroperasi sasaran akan dapat dicapai,” katanya kepada pemberita pada sidang media, di sini hari ini.

Pengarah SASMEC, Datuk Dr Mohamed Saufi Awang bercakap kepada media ketika hadir di hari pertama pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (SASMEC @IIUM), Kuantan. Foto MOHD ADZLAN, 19 JULAI 2021.

Katanya, SASMEC menjadi IPT yang sepenuhnya menggunakan kakitangan dan fasiliti universiti sepanjang beroperasi sebagai PPV.

Jelas Saufi, selain itu seramai 180 pelajar universiti menjadi sukarelawan PPV bagi membantu kelancaran proses pemberian vaksin yang kini di peringkat fasa ketiga.

“Kami pada awal tahun ini telah diberi amanah oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai  pusat vaksinasi di mana fasa pertama kami terlibat dalam pemberian vaksin kepada barisan hadapan. Kemudian kami juga telah berjaya pada pusingan fasa kedua.

Sukarelawan dari kalangan pelajar membantu warga emas yang hadir bagi mendapatkan suntikan vaksin pada hari pertama pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (SASMEC @IIUM), Kuantan. Foto MOHD ADZLAN, 19 JULAI 2021.

“Pada Jun kami telah diarahkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) atas inisiatif kementerian untuk menerima PPV IPT,” tambahnya.

Saufi berkata, PPV SASMEC dijangka beroperasi sehingga November ini dengan kapasiti 1,000 penerima vaksin Covid-19 setiap hari.

Ketua Penyelaras PPV SASMEC, Prof Madya Dr Razman Mohd Rus bercakap kepada media ketika hadir di hari pertama pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (SASMEC @IIUM), Kuantan. Foto MOHD ADZLAN, 19 JULAI 2021.

Sementara itu bagi mengelakkan berlakunya kesesakan penerima vaksin yang datang setiap hari, Ketua Penyelaras PPV SASMEC, Prof Madya Dr Razman Mohd Rus berkata, penerima vaksin akan dihubungi terlebih dahulu bagi memastikan mereka datang mengikut masa yang telah ditetapkan.

Untuk rekod, PPV SASMEC ini diwujudkan PPV menerusi inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dalam menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di daerah Kuantan. – MalaysiaGazette