Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan ketika Op Patuh PDRM di Kondominium D'Alamanda, Kuala Lumpur.Foto HAFIZ SOHAIMI, 01 JULAI 2021

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis dalam isu kontroversi membabitkan penyanyi Rap, Caprice dan pendakwah bebas, Ebit Lew.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenyah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, PDRM juga tidak membuka kertas siasatan ke atas Caprice dalam perkara tersebut.

“Setakat ini didapati tiada laporan diterima dan tiada kertas siasatan dibuka mengenai perkara ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak menyebar atau membuat kenyataan yang berbaur fitnah atau mengaibkan seseorang kerana ia merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang.

Tindakan menyebar, membuat kenyataan berbaur fitnah atau mengaibkan seseorang boleh disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu fitnah dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

“Siasatan juga boleh dibuat di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam dan Seksyen 233(3) Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau
perkhidmatan rangkaian.

“PDRM turut menasihati orang ramai agar tidak mensensasikan isu ini dan tindakan tegas akan diambil jika mendapati wujud pelanggaran undang-undang sebagaimana yang dinyatakan,” tegas Abd Jalil lagi.- MalaysiaGazette