Mohd Shuhaily.

GEORGE TOWN – Seramai 49 lelaki termasuk seorang warga tempatan ditahan bagi membantu siasatan susulan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan mendirikan solat sunat Aidiladha di luar pekarangan surau Taman Pelangi, Juru hari ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Shuhaily Mohd Zain berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 48 lelaki Bangladesh dan seorang warga tempatan.

Difahamkan, kesemua mereka merupakan individu yang dipercayai  mendirikan solat sunat Aidiladha hingga ke bahu jalan raya kawasan tersebut.

Rata-rata mereka berusia lingkungan 20 hingga 60an itu ditahan di sekitar kawasan perumahan Taman Pelangi dan operasi mengesan individu lain yang terlibat masih giat dijalankan pihak polis ketika ini.

ARTIKEL BERKAITAN : 

Polis cari 200 warga asing langgar SOP solat sunat Aidiladha

Terdahulu, polis Pulau Pinang sedang mengesan kira-kira 200 individu dipercayai warga asing yang bertindak melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan mendirikan solat sunat Aidiladha di kawasan pangsapuri Taman Pelangi, Juru.

Insiden itu dilaporkan berlaku pada jam 8.30 pagi tadi.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, hasil siasatan awal mendapati pihak pengurusan surau menghadkan jumlah jemaah seramai 100 orang sebelum menutup pagar sebaik melihat jemaah mula membanjiri kawasan tersebut.

Jelas beliau, akur dengan sensitiviti pihak surau tidak sebarang mengambil tindakan susulan jemaah bertindak mendirikan solat di jalan raya dalam keadaan mematuhi penjarakkan fizikal.

“Hasil soal siasat awal pihak surau memberitau insiden itu berlaku secara spontan menyebabkan mereka tidak menghubungi pihak polis.

“Bagaimanapun, kita akan melakukan siasatan bagi mengenal pasti sekiranya berlaku perancangan membawa jemaah ke surau tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Bukit Mertajam hari ini. – MalaysiaGazette