KUALA LUMPUR – Dua aset milik Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) iaitu Stesen LRT Putra Heights dan Kompleks Rapid Bas Cheras Selatan di Balakong telah diluluskan sebagai fasiliti Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Ia sebagai menyokong program imunisasi nasional untuk pencegahan kepada wabak Covid-19.
Fasiliti di Stesen LRT Putra Heights, yang merupakan stesen integrasi Laluan LRT Kelana Jaya dan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling beroperasi mulai semalam manakala PPV di kompleks yang menjadi ibu pejabat korporat Rapid Bus Sdn. Bhd.akan mula dibuka dua hari kemudian esok.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong menyifatkan pembukaan PPV itu melengkapkan pemberian vaksin bagi sektor pengangkutan sebagai antara perkhidmatan perlu bagi memastikan kelangsungan hidup rakyat selain memastikan pergerakan barangan dan penumpang tidak terjejas.
“Para petugas perkhidmatan rel dan bas tetap memainkan peranan penting mereka demi manfaat rakyat walaupun berdepan risiko jangkitan Covid-19. Justeru itu, mempercepatkan vaksinasi kepada barisan hadapan ini adalah langkah proaktif yang diambil Kementerian Pengangkutan dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) demi melindungi para petugas serta penumpang mereka,” katanya dalam satu kenyataan Prasarana semalam.
PPV berkenaan dibuka dari pukul 8 pagi hingga 4 petang untuk petugas perkhidmatan pengangkutan awam dari Prasarana, MRT Corp dan Kementerian Pengangkutan, PPV di Stesen LRT Putra Heights akan beroperasi selama lima hari sehingga 23 Julai manakala pusat di Kompleks Bas Rapid Bus Cheras Selatan akan dibuka selama enam hari sehingga 26 Julai untuk urusan pemberian dos pertama.
Menurut kenyataan yang sama, langkah pembukaan kedua-dua pusat vaksinisasi itu dibuat selepas Prasarana mendapat kelulusan daripada Kementerian Pengangkutan dan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) yang membuat tinjauan dan pemeriksaan terhadap kedua-dua aset pengangkutan awam itu pada 11 Julai lalu.
Kedua-dua premis dipilih kerana lokasi yang strategik serta mempunyai ruang yang luas dan selesa, sesuai dengan keperluan yang digariskan oleh CITF.
“Prasarana berasa bangga diberi peluang melaksananakan program vaksinasi nasional ini kerana ia adalah agenda terpenting sekarang untuk proses pemulihan negara.
Kami berharap sumbangan kami akan memberikan impak yang besar untuk kejayaan program ini; sekali gus membantu menamatkan ancaman penularan wabak Covid-19 ini,” tambah kenyataan itu.
Berpegang kepada kunci kepada kejayaan untuk Pelan Pemulihan Negara adalah dengan mempercepatkan proses vaksinasi nasional kepada rakyat, Prasarana turut menawarkan penggunaan aset-asetnya untuk menjadi pemacu kepada program imunisasi berkenaan khususnya di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan
Pahang.
Prasarana terbuka kepada perbincangan untuk menjadikan bas-bas miliknya termasuk di Pulau Pinang dan Pahang sebagai pusat-pusat vaksinasi bergerak untuk memudahkan pengambilan vaksinasi dalam kalangan rakyat.- MalaysiaGazette