Mohd Isa Mohd Dom

KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Maklumat (CIO), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Mohd Isa Mohd Dom telah dianugerahkan CIO Circle Excellent Award Asia 2021 (platinum) daripada pihak Cisco dan CNBC-TV18 menerusi majlis yang diadakan secara dalam talian baru-baru ini.

Cisco merupakan syarikat nombor satu dunia dalam bidang teknologi maklumat dan penyediaan rangkaian global bersama CNBC-TV18 menganugerahkan pengiktirafan berprestij itu kepada UTeM selaku penerima tunggal dalam bidang pendidikan.

CIO Circle Excellent Award merupakan anugerah yang mengiktiraf CIO organisasi-orgasnisasi dunia yang telah menyumbangkan kejayaan merealisasikan konsep digital transformasi berimpak.

Dalam satu kenyataan, Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, anugerah berprestij bertaraf global itu sekaligus telah melonjak kredibiliti UTeM di persada dunia dan Asia khususnya.

Jelasnya, pengiktirafan sebegini jelas mempamerkan UTeM sentiasa merintis dan menerajui cabaran semasa dalam memastikan keseluruhan operasinya termasuklah proses pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian dilaksanakan dengan jayanya walau berdepan dengan kesulitan pandemik yang melanda dunia.

Penerima CIO Circle Excellent Award Asia 2021, Mohd Isa pula berkata, cabaran utama yang dihadapi adalah memastikan penyediaan perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) seluruh organisasi UTeM berjalan dengan sempurna selari dengan norma baharu yang mula dibudayakan seluruh dunia.

“Kami juga perlu memastikan kesemua pelajar UTeM seramai 13,000 orang dan seribu orang pensyarah mampu melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran dalam talian secara efektif dan efisien,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Ujarnya, ianya bukan sekadar memastikan capaian bagi operasi kelas dalam talian sahaja malah kami turut menyempurnakan 2 agenda utama lagi iaitu tugasan dan peperiksaan dilaksanakan secara dalam talian sepenuhnya.

“Sistem peperiksaan penuh dalam talian ini adalah yang terbaharu kami bangunkan dengan menggunakan kepakaran sumber dalaman kami dan bersyukur sistem ini berjaya dilaksanakan dengan sempurna dan berjaya.

“UTeM telah berjaya meningkatkan insfrastruktur ICT yang berfokuskan kepada rangkaian berkelajuan tinggi, akses tanpa wayar serta kuasa pengkomputeran tercanggih pada masa kini selari permintaan semasa,” ujarnya lagi.

Kejayaan itu menurutnya milik semua warga UTeM dan khususnya didedikasikan kepada seluruh warga kerja Pusat Perkhidmatan Pengetahuan dan Komunikasi (PPPK), UTeM yang telah bertungkus lumus sepenuhnya dalam menjayakan projek dan operasi berimpak ini.

UTeM merupakan satu-satunya pemenang daripada bidang pendidikan dari seluruh Asia Pasifik berjaya mengatasi calon-calon daripada bidang perbankan, tenaga, perkhidmatan dan banyak lagi melibatkan 150 calon terbaik dari negara Asia Pasifik seperti China, India, Korea, Australia dan Singapura serta melibatkan organisasi ternama dunia seperti LG, Tata dan Bank of India.

Pengiktirafan dan kejayaan unggul itu hanya menetapkan dua wakil dari Malaysia yang telah diiktiraf dan dinobatkan kejayaan iaitu UTeM memenangi tahap platinum manakala Tenaga Nasional Berhad (TNB) pula memenangi tahap perak.

Bagi kemenangan unggul CIO Circle Excellent Award Asia 2021 (platinum) ini, Mohd Isa turut menerima piala dan sijil penghargaan daripada pihak Cisco dan CNBC-TV18.- MalaysiaGazette