KUALA LUMPUR – Seorang individu yang mendakwa menerima suntikan kosong vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC) sebenarnya salah faham.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kejadian berlaku pada 18 Julai lalu dan pengadu telah dijelaskan mengenai salah faham yang berlaku.
Sebagai menafikan insiden itu, pihak PPV di BACC juga telah membuat laporan polis menafikan berlaku pemberian vaksin kosong kepada seorang penerimanya.
Bagaimanapun teman wanita lelaki terbabit telah menularkan perkara itu di media sosial
“Laporan polis dibuat bagi menafikan satu ciapan di Twitter yang tular berkaitan kenyataan seorang lelaki penerima vaksin nyaris disuntik dengan vaksin kosong ketika pergi mendapatkan suntikan vaksin di sana pada 17 Julai lalu.
“Walaubagaimanapun tiada sebarang gambar dan video berkaitan kejadian tersebut ditularkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru hasil siasatan polis mendapati petugas di PPV berkenaan telah berhubung dan menerangkan dengan jelas prosedur pengambilan vaksin kepada lelaki tersebut dan lelaki tersebut pun sudah berpuashati.
Menurut Mohd Zaid, sebenarnya berlaku salah faham apabila lelaki berkenaa menyangka dirinya telah disuntik dengan vaksin kosong tetapi kejadian sebenar, dia telah disuntik dengan vaksin jenis Sinovac.
Ujar beliau, setakat ini, tiada apa-apa laporan polis dibuat oleh penerima vaksin tersebut.
Kes telah disiasat oleh pihak polis di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 dan siasatan dapati ciapan di ruangan komen Twitter tersebut adalah dibuat oleh teman wanita penerima vaksin tersebut yang menyebabkan ia tular dan mendapat pandangan yang negatif daripada masyarakat.- MalaysiaGazette