Pengarah Pusat Kuarintin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah PKRC MAEPS, Dr Shahabuddin Ibrahim bercakap di Pusat Kuarantin dan Rawatan Bersepadu COVID-19 (PKRC) di MAEPS, Serdang, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 20 JULAI 2021.

SERDANG – Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (PKRC Bersepadu MAEPS 2.0) bersedia untuk fokus merawat pesakit kategori tiga dan empat.

Pengarahnya, Dr Shahabuddin Ibrahim berkata, pihaknya kini sedang menyediakan dua dewan untuk kepada pesakit yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Katanya, ia berikutan data menunjukkan kes positif Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan semakin meningkat di Lembah Klang.

“Seperti yang kita maklum kes empat semakin bertambah yang memerlukan oksigen bukan berlaku di MAEPS sahaja tetapi semua fasiliti kesihatan Lembah Klang, di MAEPS kita telah mendapat kebenaran daripada NADMA untuk kita sediakan dewan kita A dan C untuk lengkapkan dengan pasang lebih banyak mesin oksigen.

“Itu akan bantu kes yang memerlukan bantuan oksigen ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sehingga kini, menurut Dr. Shahabuddin, seramai lebih kurang 1,670 orang pesakit Covid-19 yang ditempatkan di PKRC berkenaan yang mana lebih kurang 1,300 merupakan kategori tiga manakala selebihnya kategori empat.

Demi menghadapi cabaran peningkatan jumlah pesakit  yang bakal ditempatkan di PKRC itu, Dr. Shahabuddin berkata, pihaknya membuka ruang kerjasama daripada sektor swasta dan pihak universiti dengan lebih luas untuk membantu fasiliti kesihatan di situ.

“Kita melihat peluang yang lain dalam hal ini mungkin sebelum ini majoriti daripada sektor kerajaan sekarang kita cuba lihat pihak swasta dan universiti untuk mereka membantu kita menangani masalah ini,” jelasnya.

Untuk rekod, baru-baru ini Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata PKRC MAEPS 2.0 akan dinaik taraf sebagai Hospital Bersepadu MAEPS yang berfungsi sama seperti hospital kerajaan lain bagi menampung peningkatan kes di Lembah Klang.-MalaysiaGazette