Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berbual bersama sukarelawan ketika melawat proses pemberian vaksin di PPV Mega Movenpick, Sepang. Foto FAREEZ FADZIL, 21 JULAI 2021.

SEPANG – Penggiat industri sukan berkemungkinan akan menikmati kelonggaran yang akan diberkan kepada penerima dua dos vaksin Covid-19.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, kelonggaran itu membabitkan pembukaan semula sektor sukan dalam negara mengikut ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kita pun dah tau, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin maklumkan MKN akan putuskan selepas Hari Raya Aidiladha, dalam minggu ini.

“Kalau diikut apakah kelonggaran penerima vaksin dua dos dan saya yakin kelonggaran itu akan diberi kepada sektor sukan, kita nak buka gimnasium balik, nak buat  acara tertentu. Tapi belum diputuskan lagi,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Movenpick, Kompleks Tabung Haji, di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau akur sekiranya prinsip awal bahawa sektor sukan tidak dibenarkan beroperasi pada Pelan Pemulihan Negara fasa ketiga.

“Tapi prinsip asasnya gelembung sukan, kalau ikut fasa ketiga baru boleh sebenarnya. Jadi fasa kedua ini mungkin kelonggaran yang minima, negeri yang (kes) tidak tinggi boleh dibenarkan,” tambahnya.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan mengumumkan kelonggaran kepada individu yang telah lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19 selepas Hari Raya Aidiladha.

Jelasnya, perkara itu sedang diteliti jawatankuasa teknikal bagi memastikan jenis kelonggaran yang akan dibenarkan kepada golongan itu. – MalaysiaGazette