Wabak penularan Covid-19 di India belum berakhir walaupun jumlah kes menurun. foto Agensi

NEW DELHI – Dua per tiga populasi India mempunyai antibodi terhadap koronavirus, menurut data yang dikeluarkan hasil tinjauan ke atas 29,000 orang di seluruh negara.

Tinjauan itu dilaksanakan pada bulan Jun dan Julai.

Tinjauan serum darah nasional keempat yang menguji antibodi, yang dikenali sebagai tinjauan sero, merangkumi 8,691 kanak-kanak berusia enam hingga 17 tahun diaksanakan untuk pertama kalinya.

Separuh daripadanya seropositif (iaitu mempunyai antibodi dalam darah).

Tinjauan menunjukkan 67.6 peratus orang dewasa seropositif, sementara lebih daripada 62 peratus orang dewasa tidak divaksinasi.

Pada bulan Julai, lebih daripada 8 peratus warganegara India dewasa yang layak telah menerima dua dos vaksin.

Kira-kira 400 juta daripada 1.4 bilion orang India tidak mempunyai antibodi, menurut tinjauan itu.

Kes harian India jatuh ke paras terendah empat bulan setelah gelombang kedua melumpuhkan sistem penjagaan kesihatannya.

Tetapi para pakar telah memberi amaran kepada pihak berkuasa agar tidak membuka kembali kota dengan cepat dan menyuarakan keprihatinan mengenai kesesakan di tempat-tempat pelancongan.

“Gelombang kedua masih berlanjutan. Bahaya wabak baharu masih berpotensi.

“Satu daripada tiga, di mana sahaja anda berada … masih terdedah dan oleh itu wabak itu tidak akan berakhir,” kata Vinod Kumar Paul, penasihat tertinggi kerajaan pada sidang akhbar.

Kajian itu juga meninjau sebanyak 7,252 pekerja kesihatan dan mendapati 85 peratus daripada mempunyai antibodi, dengan satu daripada 10 orang tidak divaksinasi.

Bulan lalu, data menunjukkan sekurang-kurangnya separuh daripada penduduk bawah 18 tahun di Mumbai terdedah kepada Covid-19 dan mempunyai antibodi.

Beberapa pakar mengatakan gelombang ketiga boleh melanda kanak-kanak.

Mumbai telah bergabung dengan bandar-bandar lain membina wad pediatrik yang besar sebagai persiapan. – MalaysiaGazette