Penerbit filem kontroversi ‘Babi’, Toh Han Boon, 35, diiringi polis ketika dihadapkan ke mahkamah bagi menghadapi tuduhan mengedar filem dan mempamerkan poster filem tanpa lesen sah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya. Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 21 JULAI 2021.

PETALING JAYA – Seorang penerbit filem didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, atas tuduhan menerbitkan sebuah filem pendek tanpa mendapat lesen daripada pihak berkuasa yang bertajuk ‘Babi’ pada 18 November 2020.

Bagaimannapun, tertuduh, Toh Han Boon, 35, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan tersebut.

Pengakuan itu dibuat di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol selepas kertas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di bilik prosiding.

Menurut fakta kes, Han Boon didakwa mengambil bahagian dalam aktiviti mengeluarkan filem bertajuk ‘Babi’ dan mempamerkan poster filem tersebut tanpa lesen yang sah daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Dia dituduh melakukan kesalahan itu pada pada kira-kira jam 6 petang 18 November tahun lalu di Mutiara Damansara.

Pertuduhan terhadapnya dilakukan di bawah Seksyen 22 (1) Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta 244 Pindaan 2013) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(1) Akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahannya Han Boon boleh dikenakan denda tidak lebih RM50,000, hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-dua sekali.

Siasatan kes dikendalikan Inspektor Jagachandran Murugesen dan pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwaraya Zamriah Zarifah Aris.

Zamriah mencadangkan wang jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin selain mengesyorkan syarat tambahan iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan beliau perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sehingga kes selesai.

Bagimanapun peguambela, Haijan Omar mencelah dengan menyatakan jumlah wang jaminan yang dicadangkan oleh Zamriah adalah tidak munasabah dan syarat tambahannya tidak diperlukan.

“Ini kerana kes ini tidak didakwa di bawah Kanun Keseksaan, sebaliknya dituduh di bawah Akta Finas.

“Sebenarnya kes yang dituduh di luar Kanun Keseksaan adalah boleh dijamin tanpa memerlukan syarat tambahan.

“Maka tawaran syarat tambahan serah pasport dan lapor diri di balai berhampiran adalah bersifat punitif (menghukum),” katanya.

Tambah beliau, anak guamnya yang merupakan seorang produser berpendapatan sebanyak RM1,500 sebluman sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun kini dia telah kehilangan sumber pendapatan.

Berikutan itu, Haijan mencadangkan mahkamah mengenakan wang jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Muhammad Iskandar membenarkan Han Boon diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Oktober ini sebagai tarikh serah dokumen dan sebutan kes. -MalaysiaGazette