ministers violating SOP
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Sebanyak 34 premis termasuk empat kilang dan 30 premis perniagaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelanggaran SOP itu dikesan selepas Pasukan Task Force Operasi Pematuhan melaksanakan 78,604 pemeriksaan dan snap check Covid-19 di seluruh negara membabitkan seramai 17,966 anggota.

“Kerajaan telah mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh dari segi pemeriksaan ke atas kilang-kilang dan premis-premis perniagaan kerana terlalu banyak pelanggaran arahan kerajaan dan SOP yang telah diwartakan.

“Pemeriksaan dilakukan ke atas 1,735 kilang, 15,285 premis perniagaan, 771 tapak pembinaan dan 266 buah asrama penempatan pekerja dalam operasi pematuhan yang dijalankan semalam.

“Hasil daripada pemeriksaan tersebut, sebanyak 34 premis meliputi kilang empat dan 30 premis perniagaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ismail Sabri, pihak berkuasa turut menahan 525 individu atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, seramai 449 individu dikompaun, 68 direman manakala lapan lagi individu telah dijamin.

“Orang ramai diingatkan untuk sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan dan mengamalkan kawalan kendiri dalam usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,” katanya.

Sementara itu, sebanyak lima premis dikenakan kompaun oleh anggota Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kerana tidak mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.

“Ia hasil daripada 1,102 pemeriksaan khas pematuhan SOP dan daripada jumlah itu, 1,097 premis mematuhi SOP manakala lima lagi dikompaun kerana tidak patuh SOP yang ditetapkan.

“KPDNHEP juga telah membuat 823 pemantauan harian ke atas 11 jenis bekalan barangan terdiri daripada peringkat peruncit (643), pemborong (149) dan pengilang (31) setakat semalam,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast