PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration

SEREMBAN – Seorang lelaki warga Bangladesh berusia 29 tahun, ditahan selepas mengaku membunuh dan menanam mayat rakan senegaranya, di kawasan pembinaan di Taman Mutiara Galla di sini pada 13 Julai lepas.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohd Said Ibrahim berkata, kejadian terbongkar apabila majikannya mengesyaki sesuatu berlaku kepada mangsa yang sudah lama tidak hadir ke tempat kerja, dan membuat laporan polis kira-kira pukul 6.30 petang semalam.

Menurutnya siasatan awal mendapati, berlaku perselisihan faham antara suspek dan mangsa berumur 30 tahun yang tinggal serumah sejak sebulan lepas itu, sebelum bertindak memukul mangsa dengan kuat di kepala menggunakan sebatang kayu.

“Apabila majikan ke tempat kerja mereka, suspek yang berasa takut kemudiannya melarikan diri namun berjaya ditangkap majikan sebelum membawanya ke balai polis, dan mendedahkan bahawa dia telah melakukan pembunuhan itu.

“Suspek telah menunjukkan kayu yang digunakan untuk memukul mangsa serta lokasi mayat ditanam iaitu di sebuah rumah yang masih dalam pembinaan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Mohd Said berkata mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar di sini untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

— BERNAMA