KUALA LUMPUR – Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa menyemak semula kaedah pematuhan standard dalam kalangan anggota polis agar dapat berjalan dengan baik dan berkesan.
Malah, ia perlu diselaraskan dengan didikan dan latihan kepada anggota menerusi nilai agama yang kukuh, kata Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid.
Beliau berkata, pasukan polis yang umumnya bertanggungjawab dan beramanah dalam menjalankan tugas tidak harus dicemari dengan segelintir anggota yang tidak bersih serta tidak berintegriti.
“Kami terkejut dengan laporan sebuah balai polis di daerah Kajang diserbu kerana anggota polis balai itu menjalankan kegiatan yang tidak bermoral dan melanggar undang-undang.
“Menggunakan premis balai polis dengan kegiatan minum arak, air daun ketum dan bahan lucah amat mengejutkan dan sangat tidak boleh dipandang ringan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, anggota polis terbabit seolah-olah berani melakukan kegiatan itu kerana berada diluar pengetahuan orang awam dan mereka sesuka hati mencemari premis yang sepatutnya melambangkan pusat penguatkuasaan undang-undang.
Tambahnya, pihak atasan PDRM perlu tegas dan perlu melihat insiden itu dengan sangat serius kerana ia memberi kesan kepada imej pasukan itu sendiri.
Katanya lagi, walaupun mungkin ia kes terpencil tetapi ia telah mencalar nama baik PDRM.
“JIPS PDRM yang menyerbu dan bertindak terhadap kes ini wajar menyemak mereka yang terlibat apakah kegiatan tersebut sudah lama dilakukan dan apakah pihak pengurusan atasan PDRM tidak tahu hal ini.
“Kami menegaskan bahawa anggota polis yang umumnya bertanggungjawab dan beramanah dalam menjalankan tugas, tidak harus dicemari oleh segelintir anggota yang tidak bersih dan tidak berintegriti.
“Kes seumpama ini boleh menular jika tindakan tegas tidak diambil…Ia bukan sahaja menyebabkan keyakinan awam terhadap PDRM akan luntur malah, jenayah dan pelanggaran undang-undang akan berleluasa,” tegasnya. – MalaysiaGazette
Parti liar di balai polis: 8 termasuk 4 anggota polis ditahan
Amat mengejutkan perkara sebegitu berlaku di balai dan juga melibatkan ketua balai..serapkan nilai2 islam kpd anggota yg bermasalah..paling mudah mewajibkan mereka hadir solat berjemaah sekurang2 nya 1 kali Sehari samaada dikawasan tempat tinggal mereka@ balai berhampiran..Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada
Sebab nila setitik rosak susu sebelanga.