KUALA LUMPUR – Kerajaan mengenal pasti potensi teknologi hijau antara teras untuk mempercepatkan pemulihan ekonomi dan dalam masa yang sama menggalakkan pembangunan lestari.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia boleh dilaksanakan melalui Persidangan dan Pameran Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa Malaysia Ke-12 (IGEM 2021) yang bakal berlangsung selama enam bulan buat julung kalinya.
Sehubungan itu, beliau berharap semua pemain industri akan dapat memanfaatkan persidangan itu untuk memacu agenda ekonomi hijau.
“Bertemakan ‘Pentakrifan Semula Kelestarian’ ini akan dapat menyediakan peluang untuk institusi kerajaan memulihkan ekonomi, memelihara alam sekitar dan membawa kestabilan sosial dalam mendepani cabaran iklam.
“Dengan munculnya industri hijau yang memerlukan inovasi baru, produk dan perkhidmatan untuk memenuhi permintaan pengguna, tema ini juga diterjemahkan terhadap peluang baharu dan menjangkau pasar yang belum diterokai untuk perniagaan.
“Oleh itu, pemain industri harus melihat secara menyeluruh rantai nilai dalam memacu agenda ekonomi hijau,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian IGEM 2021 yang Ke-12 menerusi Facebook Live Kementerian Air dan Alam Sekitar (KASA) hari ini.
Kata Perdana Menteri, kerajaan akan meneruskan pendekatan di seluruh negara untuk memastikan polisi kerajaan jelas dan kondusif untuk pembangunan ekonomi dalam masa yang sama mengekalkan kelestarian alam sekitar.
“Perniagaan dan industri harus terus menerapkan norma baru untuk mendorong transformasi hijau. Saya berharap bahawa dalam tempoh enam bulan akan datang, perwakilan IGEM 2021 akan mendepani cabaran dengan menginovasikan produk dan perkhidmatan dan menawarkan penyelesaian yang dapat membantu mengurangkan kesan persekitaran untuk memastikan kelestarian komuniti kita,” tambahnya.
Untuk rekod, tahun ini merupakan kali kedua IGEM diadakan secara maya akibat daripada pandemik Covid-19.-MalaysiaGazette