Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Sebanyak 66 premis termasuk 16 kilang, 49 premis perniagaan dan satu tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelanggaran SOP itu dikesan selepas Pasukan Task Force Operasi Pematuhan melaksanakan 78,021 pemeriksaan dan snap check Covid-19 di seluruh negara.

“Ia termasuk pemeriksaan ke atas 1,756 kilang, 16,010 premis perniagaan, 776 tapak pembinaan dan 256 buah asrama penempatan pekerja.

“Hasil daripada pemeriksaan tersebut, sebanyak 66 premis meliputi 16 kilang, 49 premis perniagaan dan satu tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Ismail Sabri, pihak berkuasa turut menahan 577 individu atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, seramai 542 individu dikompaun, manakala 35 lagi telah direman.

“Ia hasil daripada Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan 78,021 pemeriksaan semalam.

“Ia melibatkan 4,318 Pasukan Pematuhan yang terdiri daripada 18,210 anggota bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP sepanjang PKP.

Sementara itu, Operasi Benteng semalam telah menangkap 29 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan tujuh PATI yang lain diusir keluar melalui dua aktiviti pengusiran dalam operasi yang dilaksanakan di seluruh negara.

“Op Benteng melibatkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta agensi-agensi keselamatan lain turut menjalankan 890 Sekatan Jalan Raya (SJR) semalam,” katanya. – MalaysiaGazette