Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang menawarkan Sinovac sebagai pilihan dos penggalak adalah terhad ketika ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 13 laporan polis diterima berkaitan isu suntikan picagari kosong oleh petugas Kementerian Kesihatan di beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata laporan polis itu melibatkan tujuh di Kuala Lumpur, tiga di Selangor manakala masing-masing satu di Kedah, Perak dan Melaka.

Beliau berkata kesemua kes masih di peringkat siasatan oleh JSJ kontinjen negeri yang terlibat.

“Bagi kes melibatkan penawaran palsu atau penipuan penjualan vaksin di pasaran pula, siasatan akan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Abd Jalil berkata sehingga kini vaksin COVID-19 hanya dibekalkan oleh kerajaan dan orang ramai dinasihat agar sentiasa peka dan cakna dengan inisiatif vaksinasi yang sedang dilaksanakan bagi membendung penipuan berkaitan penjualan vaksin.

“Sebarang penjualan atau pembekalan vaksin melalui mana-mana medium lain termasuk secara dalam talian adalah tidak dibenarkan.

“Orang ramai dinasihat agar berhati-hati ketika mengeluarkan atau berkongsi sebarang kenyataan yang belum dipastikan kebenarannya terutama bagi isu-isu sensitif seperti pemberian vaksin kerana tindakan tegas akan diambil,” katanya.

Baru-baru ini, tular di media sosial terdapat individu mendakwa mereka disuntik dengan picagari kosong di beberapa PPV di seluruh negara.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast