Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin.

KUALA LUMPUR – Operasi Lonjakan Kapasiti yang diumumkan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berjalan lancar sejak dibuka pada Rabu lalu.

Khairy yang juga Menteri Sains, Tekonogi dan Inovasi berkata, program itu semakin mendapat perhatian apabila lebih 432,000 dos telah diberikan setakat ini.

“Untuk tempoh dua hari iaitu 21 hingga 22 Julai sebanyak 432,843 suntikan dos telah diberikan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.

“Sebanyak 293,100 adalah suntikan dos pertama. Sehingga semalam 71.9 peratus penduduk dewasa 18 tahun keatas telah menerima sekurang-kurangnya satu dos,” katanya dalam sidang media Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba hari ini.

Khairy berkata, Op Lonjakan Kapasiti bertujuan bagi membendung penularan pandemik di Lembah Klang.

Menerusi operasi yang sama, sejumlah 1.3 juta individu dewasa di Lembah Klang akan menerima dos pertama vaksin mulai sekarang hingga 25 Julai ini, manakala 1.3 juta lagi daripada 26 Julai hingga 1 Ogos.

Jelasnya, keupayaan dan kapasiti vaksinasi di Lembah Klang akan ditingkatkan susulan pelaksanaan operasi berkenaan, daripada 180,000 dos sehari kepada 272,000 dos sehari.

Tambah Khairy, selepas Operasi Lonjakan Kapasiti tamat pada 1 Ogos, maka penduduk dewasa berusia 18 tahun keatas yang belum menerima janjitemu akan dibenarkan untuk mendapatkan vaksinasi mereka secara terus (walk in).

“Kita akan umumkan di PPV yang akan dibuka untuk kemudahan walk-in,” katanya lagi. – MalaysiaGazette