Ahli Tertinggi MIC, Datuk P.Kamalanathan bercakap pada sidang media mengenai isu tawaran matrikulasi pelajar India di Ibu Pejabat MIC, Menara Manicavasagam, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 20 APRIL 2019.

KUALA LUMPUR – Pelabuhan Labuan akan dibuka semula kepada kapal asing dalam masa terdekat.

Baru-baru ini, Jawatankuasa Keselamatan Peringkat Wilayah (JKPW) pada 16 Julai telah menangguhkan kemasukan kapal negara asing di pelabuhan tersebut.

Bagaimanapun menurut Pengerusi Lembaga Pengarah Pelabuhan Labuan, Datuk Seri P. Kamalanathan, beliau telah menghubungi dengan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) berhubung perkara itu.

“Saya telah bercakap dengan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong dan memberikan perincian tentang perkara ini terutamanya memberikan analisis impak pengoperasian pengurusan Pelabuhan Labuan.

“Saya sendiri telah dihubungi pelbagai pihak yang terkesan dengan keadaan ini, sebenarnya impak memang besar. Saya ada memberitahu tentang kesan kepada pengusaha dan ejen penghantaran perkapalan dalam negeri dan antarabangsa,” katanya kepada MalaysiaGazette sebentar tadi.

Hujung minggu lepas, Kementerian Wilayah Persekutuan menangguhkan kemasukan kapal asing serta urusan sign on/sign off (pertukaran anak kapal) melibatkan bukan warganegara.

Susulan daripada itu, dedah Kamalanathan, Ka Siong telah berbincang dengan dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa untuk memaklumkan implikasi keputusan tersebut.

“Ini juga akan memberi peluang kepada pelabuhan Labuan dapat beroperasi dengan SOP yang telah ditetapkan kerana industri perkapalan merupakan perkhidmatan perlu,” ujarnya.

Sebelum ini, ramai permain industri telah tampil menggesa menggesa Majlis Keselamatan Negara (MKN) campur tangan berhubung larangan tersebut.

Antaranya, pengasas syarikat perkapalan Maritime Network Sdn Bhd, Datuk Seri R Jeyendran yang merasakan keputusan itu membawa impak serta kerugian berbilion kepada negara.

Jelasnya, industri perkapalan antara ekonomi penting sesebuah negara.

“Arahan ini sebenarnya telah memberikan kesan begitu besar kepada yang berkaitan dalam industri ini termasuklah perkapalan serta yang lain-lain di Labuan. Impak ekonomi juga sangatlah besar.

“Sememangnya melawan pandemik Covid-19 adalah penting untuk semua bagi memastikan penularan virus ini dapat dihentikan tetapi pada masa sama tetapi rasional larangan kemasukan kapal asing memberikan kesan besar” jelasnya.

Sementara itu, Kementerian Wilayah melalui mesej ringkas memberitahu Labuan akan terus mengamalkan peraturan dan SOP yang ketat.

“Pelabuhan tidak boleh dibuka sepenuhnya tetapi JKBD Labuan dibenarkan mempertimbang mengikut kes tertentu dan bukan secara ‘en bloc’ dengan SOP diperketatkan.

“Labuan belum pulih sepenuhnya dan masih dalam fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya. – MalaysiaGazette