Pemimpin OIC mengucapkan tahniah kepada Penjaga Dua Masjid Suci kerana berjaya mengendalikan musim haji 2021 di sebalik pandemik Covid-19. Foto agensi

JEDDAH- Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Dr. Yousef Ahmed Al-Othaimeen mengucapkan tahniah kepada Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman bin Abdulaziz dan Putera Mahkota Arab Saudi kerana berjaya mengendalikan musim haji 2021.

Katanya, kerajaan Arab Saudi memberi pelajaran kepada negara-negara lain dalam menguruskan krisis dan jemaah yang ramai dengan baik.

Jelasnya, Arab Saudi mampu memastikan semua rukun haji dapat dilaksanakan walaupun dalam keadaan pandemik Covid-19 tanpa menimbulkan masalah dari segi keselamatan atau kesihatan jemaah.

Dr. Yousef berkata, kejayaan musim haji kali ini adalah hasil langkah kukuh dan keputusan tepat yang diambil kerajaan Arab Saudi sejak Covid-19 mula menular.

Ini termasuk menghadkan jumlah jemaah bagi memastikan setiap ibadah yang dilakukan dalam keadaan selamat dan terhindar daripada ancaman virus Covid-19. – Agensi