Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah

BATU PAHAT- Polis sedang menjalankan siasatan terhadap Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon serta beberapa individu yang didakwa mengingkari prosedur operasi standard (SOP) baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kertas siasatan telah dibuka dan pihaknya telah mengesan satu hantaran gambar yang tular di media sosial memaparkan Ahli Parlimen Batu Pahat sedang makan bersama dua orang wanita di sebuah ladang pertanian di daerah Batu Pahat.

“Hantaran berasingan pula mendapati wakil rakyat berkenaan sedang bergambar bersama seorang lelaki dan dua wanita tanpa memakai pelitup muka dan tiada penjarakan sosial,” katanya dalam kenyataan hari itu.

Siasatan, katanya, dijalankan di bawah Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Pihak polis akan memanggil wakil rakyat berkenaan dan mereka yang terlibat untuk membantu siasatan, ujarnya.

Sementara itu, Mohd Rashid dalam satu kenyataan menyelar tindakan portal ‘OPS Johor’ yang berkongsi gambar beliau bersama keluarga yang dilihat melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Beliau berkata, portal milik media UMNO negeri Johor itu tiada isu lain dan sengaja menimbulkan kemarahan rakyat terhadapnya. -MalaysiaGazette