Chow Kon Yeow

GEORGE TOWN – Pulau Pinang bakal mengorak langkah ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) apabila kadar suntikan vaksin Covid-19 di negeri ini mencapai 30,000 suntikan sehari.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pencapaian terbaik negeri itu direkodkan semalam dengan jumlah kadar suntikan vaksin harian sebanyak 30,055 dos.

Jelas beliau, pencapaian itu sekali gus membolehkan imuniti kelompok diperoleh pada masa ditetapkan.

“Berdasarkan jumlah suntikan itu Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) melaporkan bahawa Pulau Pinang berada di kedudukan keenam berbanding negeri lain.

“Kita mencapai kadar suntikan harian sebanyak 30,055 dan usaha ini akan diteruskan bagi memastikan Pulau Pinang berjaya memasuki Fasa 3 PPN dan seterusnya mencapai imuniti kelompok,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Kon Yeow, setakat semalam, Pulau Pinang telah menyempurnakan 571,164 dos suntikan pertama dengan kadar 32.2 peratus berbanding jumlah populasi dan 41.8 peratus bagi kadar populasi dewasa.

“Bagi suntikan dos kedua pula, seramai 240,038 iaitu 13.5 peratus sudah menerima suntikan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette