SHAH ALAM – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan penghargaan khas kepada petugas barisan hadapan dan sukarelawan di hospital serta pusat pemberian vaksin (PPV) COVID-19 di seluruh negeri ini yang bertungkus lumus bertugas pada Aidiladha, Selasa lepas.
Menerusi kenyataan dalam laman Facebook rasmi Selangor Royal Office semalam, baginda menzahirkan rasa bangga dengan kegigihan pihak terlibat dalam usaha mempercepat suntikan vaksinasi kepada rakyat Selangor dan mendoakan agar pengorbanan mereka mendapat ganjaran setimpal.
“Sehingga 21 Julai (semalam), kadar vaksinasi rakyat Selangor yang memperoleh satu dos suntikan telah mencecah 46.9 peratus bersamaan 2.95 juta dos manakala 15.27 peratus rakyat negeri ini telah melengkapkan dos vaksinasi masing-masing,” menurut hantaran tersebut.
Sultan Sharafuddin turut menegaskan kadar vaksinasi COVID-19 di Selangor perlu diperluas bagi mengurangkan kadar kematian yang mencecah 84 kematian (21 Julai).
Dalam pada itu, baginda turut menyeru umat Islam di Selangor agar menghayati dan memahami intipati khutbah Aidiladha yang memberi penekanan dalam mengukuh perpaduan dan persaudaraan ummah.
Baginda bertitah antara perkara yang boleh diambil iktibar berdasarkan khutbah Aidiladha yang bertajuk ‘Persaudaraan Umat Islam: Pengalaman Ibadah Haji dan Korban’ adalah matlamat pelaksanaan ibadah haji dan korban yang mengajar umat Islam untuk terus mengukuhkan persaudaraan.
Sultan Sharafuddin bertitah sebagai umat Islam yang bersaudara, seharusnya mereka mengelakkan persengketaan, menjauhi fitnah dan berburuk sangka sesama mereka. – BERNAMA