Seorang wanita berhadapan detik cemas apabila diacukan parang oleh dua lelaki dalam kejadian samun di sebuah stesen minyak di Jalan Pintasan Kuantan di sini, awal pagi tadi.
Gambar hiasan.

BUKIT MERTAJAM –  Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) mengesahkan empat lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian menetak Pengarah Eksekutif Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (LWHPP) di Taman Impian Alma semalam.

Ketua Polis Daerah SPT, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 9.15 malam yang memaklumkan seorang lelaki tempatan diserang dengan senjata tajam.

“Siasatan mendapati mangsa berusia 70 tahun itu disyaki diserang empat lelaki di hadapan rumahnya menggunakan senjata tajam.

“Mangsa cedera parah akibat kejadian itu dan dihantar ke Hospital Bukit Mertajam.

“Keadaan mangsa kini dilaporkan stabil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN :

Ramachandran ditetak sekumpulan individu di kediamannya

Tambah beliau, orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohammad Sobirin Yatim di talian 018 292 6844 bagi membantu siasatan.

“Siasatan berhubung kes ini masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” ujar beliau.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan Pengarah Eksekutif Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (LWHPP) ditetak sekumpulan individu dalam satu kejadian di hadapan kediamannya di Taman Impian, Alma, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa, Datuk M. Ramachandran, 70,  mengalami kecederaan pada leher, paha, belakang kepala serta badan akibat tetakan tersebut.

Difahamkan mangsa diserang sebaik turun dari kereta untuk memasuki kediamannya. – MalaysiaGazette