Ramachandran mengalami cedera parah akibat ditetak sekumpulan individu semalam.

BUKIT MERTAJAM – Pengarah Eksekutif Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (LWHPP) ditetak sekumpulan individu dalam satu kejadian di hadapan kediamannya di Taman Impian, Alma di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa, Datuk M. Ramachandran, 70,  mengalami kecederaan pada leher, peha, belakang kepala serta badan akibat tetakan tersebut.

Difahamkan mangsa diserang sebaik turun dari kereta untuk memasuki kediamannya.

Mangsa dikatakan menerima rawatan awal di Hospital Bukit Mertajam sebelum dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut.

Mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri II, Prof Dr P. Ramasamy ketika dihubungi MalaysiaGazette memberitahu keadaan mangsa dilaporkan stabil ketika ini.

Jelas beliau, berdasarkan percakapan mangsa, dia mendakwa dirinya diserang dan isterinya telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.

“Serangan terhadap beliau (mangsa) dianggap sebagai serangan terhadap Kerajaan Pulau Pinang, LWHPP serta saya selaku ketua LWHPP.

“Pihak polis sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian ini termasuk mengesan mereka yang terlibat.

“Sebagai wakil kerajaan negeri saya memberi jaminan kepada orang India Pulau Pinang untuk mengesan dalang disebalik serangan ini,” kata Ramasamy. – MalaysiaGazette