Seorang pekerja menolak silinder oksigen di sebuah hospital di Bali. foto Agensi

JAKARTA – Pulau Bali di Indonesia kekurangan oksigen untuk pesakit Covid-19 ketika jangkitan meningkat, kata ketua agensi kesihatannya.

Bali, terkenal dengan pantai dan kuil-kuil pelancongannya, bersama dengan pulau utama Jawa dan 15 wilayah lainnya berada di bawah sekatan koronavirus yang ketat sehingga esok.

Kerajaan sedang membahaskan sama ada sekatan itu akan dilanjutkan atau tidak.

“Kami mengalami kekurangan oksigen sejak 14 Julai lalu dan hari ini semakin kritikal kerana lonjakan kes baharu.

“Ada krisis oksigen di Bali,” kata Ketut Suarjaya, Ketua Badan Kesihatan Bali.

Indonesia, negara keempat terpadat di dunia, telah mengalami lebih daripada 3 juta kes jangkitan koronavirus dengan 80,598 kes kematian menurut data rasmi.

Kes-kes dicetuskan oleh varian Delta dan setakat ini tiada tanda-tanda kes akan reda.

Organisasi penyelidikan Our World in Data mengatakan Indonesia merekodkan kadar kematian tiga kali lebih tinggi daripada purata global.

Suarjaya berkata, pesakit di Bali memerlukan 113.3 tan oksigen pada hari Khamis, sementara hospital hanya memiliki 40.5 tan.

Kekurangan oksigen juga berlaku di Jawa dan kerajaan telah mula mengimport bekalan oksigen dari Amerika Syarikat dan China. – MalaysiaGazette