Datuk Mansor Othman.

GEORGE TOWN – Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman antara tiga Ahli Parlimen yang didapati gagal dalam ujian saringan Covid-19 yang dijalankan semalam.

Mansor ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan dirinya positif Covid-19 dan sedang menjalani kuarantin di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Kuala Lumpur sejak semalam.

“Ya betul, saya tidak boleh masuk dewan Isnin ini susulan disahkan positif Covid-19,” jelas beliau.

Sementara itu, selain Mansor, difahamkan dua lagi Ahli Parlimen turut disahkan positif.

Selain itu, empat orang lagi Ahli Parlimen turut diarahkan menjalani kuarantin wajib selepas disahkan kontak rapat.

Terdahulu, seramai 220 Ahli Parlimen dilaporkan akan menghadiri sidang khas Dewan Rakyat pada Isnin ini iaitu persidangan pertama bagi tahun ini selepas ditangguhkan ekoran perisytiharan darurat di seluruh negara sejak 12 Januari lalu.

Semua Ahli Parlimen dibenar hadir ke Parlimen bagi mendengar penerangan, mengajukan soalan dan membahaskan beberapa perkara berkaitan Proklamasi Darurat dan langkah kerajaan menangani pandemik Covid-19 dalam persidangan yang akan berlangsung selama lima hari itu.

Untuk rekod, Dewan Rakyat bagi penggal ketiga diadakan lima hari pada 26, 27, 28 dan 29 Julai serta 2 Ogos, manakala sidang Dewan Negara ditetapkan pada 3 hingga 5 Ogos. – MalaysiaGazette