Pelabuhan Labuan. foto Borneo Today

KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Labuan membantah keputusan pembukaan semula Pelabuhan Labuan kepada kapal asing seperti yang dinyatakan oleh Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan, Datuk P. Kamalanathan.

Ketua Cabangnya, Simsudin Sidek berkata, Labuan masih lagi di dalam peringkat pemulihan setelah bertungkus lumus melawan Covid-19 varian Delta yang telah mengganas sehingga mengakibatkan kenaikan mendadak kes kematian.

Simsudin Sidek

“PKR Labuan menggesa Datuk P. Kamalanathan menarik kembali keputusan tersebut kerana ianya berkemungkinan besar akan menjadi punca penularan wabak Covid-19 dengan varian baharu.

“Nyawa penduduk di Labuan bukan untuk digadai demi kepentingan pihak tertentu. Situasi tersebut dapat dijadikan iktibar untuk dipelajari bagi mengelak keadaan seperti itu berulang.

“Pelabuhan Labuan seharusnya sedar bahawa Labuan merupakan pulau yang kecil dan mempunyai kadar peratusan jangkitan tinggi sekiranya gagal membendung penularan wabak tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Kamalathan bercadang untuk membuka semula Pelabuhan Labuan kepada kapal asing dalam masa terdekat.

Ia susulan keputusan Jawatankuasa Keselamatan Peringkat Wilayah (JKPW) pada 16 Julai lalu telah menangguhkan kemasukan kapal negara asing di pelabuhan tersebut.

Hujung minggu lepas, Kementerian Wilayah Persekutuan menangguhkan kemasukan kapal asing serta urusan pertukaran anak kapal melibatkan bukan warganegara.

Susulan itu, Kamalanathan dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong telah berbincang dengan dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa untuk memaklumkan implikasi keputusan tersebut. – MalaysiaGazette