ministers violating SOP
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Sebanyak sembilan lokaliti baharu lagi akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari di empat negeri melibatkan Perak, Pahang, Kedah dan Sabah, berkuatkuasa 26 Julai hingga 8 Ogos ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mengambil kira penilaian risiko serta trend jangkitan Covid-19 di beberapa lokaliti yang dikenal pasti itu.

“Antara lokaliti itu ialah Medan Klebang Restu (Mukim Chemor) dan Bandar Pulai Jaya (Mukim Sg.Raia), Kinta Perak; Blok 5 Felda Keratong 7, Muadzam Shah, Rompin, Pahang serta Asrama Pekerja dan Tapak Bina Hospital Pendang, Pendang, Kedah.

“Manakala lima lokaliti lagi di Kampung Lajau dan Kampung Kota Klias di Beaufort; Perumahan Ladang Kim Loong, Beluran; Kampung Tungkang, Kudat serta Kampung Telisai, Tungku, Lahad Datu, Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, sebanyak tujuh lokaliti di Sabah pula akan ditamatkan PKPD setelah 14 hari dan 28 hari menjalani arahan itu, berkuatkuasa 25 Julai ini.

“Ia melibatkan Ql Farm Membalua, Tawau; Kampung Pikat, Bongawan, Papar; Penjara Kepayan, Kota Kinabalu; Kampung Jawi-Jawi, Kota Belud serta tiga lokaliti di Kota Kinabalu, melibatkan Kampung Suang Parai, Taman Kingfisher Sulaman dan Bandaran Berjaya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette