Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan. Foto HAZROL ZAINAL, 26 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu kerana banyak laporan salah guna kuasa serta amalan rasuah dibuat ke atasnya sebelum ini.

Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mendakwa, SPRM masih berdiam diri dan tidak mengambil tindakan seperti mana penganiayaan politik yang sedang dilakukan terhadap Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Ini merupakan pendakwaan terpilih dan tekanan politik yang sedang dikenakan ke atas Presiden parti MUDA yang amat tidak beretika pada realitinya.

“Sudah banyak laporan-laporan SPRM telah dibuat oleh beberapa individu mengenai salah laku rasuah serta salahguna kuasa ketika Ahmad Faizal menggalas jawatan Menteri Besar Perak selama beberapa bulan.

“Kami amat mengenali latar belakang dan asal-usul Ahmad Faizal ini. Apa saja yang diperolehi melalui jalan halal itu tidak mengapa, tetapi kemewahan daripada sumber haram maka tindakan tegas harus dikenakan tanpa kira siapa individu tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Khairuddin juga mempersoalkan sikap SPRM yang masih berdiam diri dan enggan mengambil tindakan terhadap Ahmad Faizal hanya kerana beliau merupakan Timbalan Presiden PPBM.

“Undang-undang tidak seharusnya memilih bulu kerana yang salah tetap bersalah! Rakyat Malaysia ingin penjelasan kerana semua laporan dan bahan bukti yang diserahkan kepada SPRM mengenai Ahmad Faizal nampaknya tidak berjalan!

“Dalam isu siasatan ke atas salah laku Ahmad Faizal, kami menggesa pihak SPRM agar jangan sama sekali sapu di bawah karpet.

“SPRM harus bersikap adil dan profesional dalam menggalas tanggungjawab mereka. Badan penguatkuasa undang-undang harus bersikap telus dan amanah dalam melaksanakan setiap tugasan,” katanya.

Khairudddin juga menasihatkan SPRM agar tidak tunduk kepada tangan-tangan ghaib politik yang menyusun atur ke atas pendakwaan terpilih terhadap individu-individu yang menentang Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Siapa sokong kerajaan tebuk atap PN akan selamat, tetapi sesiapa yang menentang bakal dikenakan tindakan undang-undang! Jangan lupa SPRM memegang amanah di antara manusia dengan Allah SWT serta manusia sesama manusia.

“SPRM masih berhutang dengan keseluruhan rakyat Malaysia dalam semua kes salah laku serta salah guna kuasa Ahmad Faizal. Ingat pemimpin politik datang dan pergi tetapi penjawat awam tetap di tempat yang sama walaupun kerajaan bersilih ganti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast