Empat remaja bawah umur ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di Penaga, Pulau Pinang semalam.

PENAGA – Tindakan empat lelaki bawah umur yang sedang leka menunjukkan aksi wheelie selain merempit di Jalan Lahar Kepar, di sini, membawa padah selepas kesemua mereka diberkas dalam Ops Samseng Jalanan semalam.

Mereka yang berusia lingkungan 13 hingga 16 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara pada jam 6.50 petang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, berdasarkan pemantauan yang dibuat pihak polis ketika operasi tersebut kesemua mereka disyaki sedang berlumba secara berasingan.

Noorzainy.

Jelas beliau, selain itu mereka juga dikesan membuat aksi wheelie bermula dari arah Penaga menghala Lahar Kepar sebanyak satu pusingan.

“Susulan itu, kita menahan kesemua neraka di tepi jalan terbabit untuk membantu siasatan.

“Semakan lanjut mendapati, tiga daripada mereka merupakan pelajar sekolah menengah manakala remaja berusia 14 tahun itu pula merupakan peniaga memandangkan sudah tidak bersekolah lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam perkembangan sama, Noorzainy mengingatkan orang awam agar tidak menjadikan jalan raya sebagai litar lumba kerana perbuatan itu bukan sahaja mengundang risiko kepada diri sendiri malah turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain. – MalaysiaGazette