Dewan Rakyat sitting at the Parliament, Kuala Lumpur. convene reconvene hybrid Parliament
Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR – Semua Ahli Parlimen UMNO perlu mengusulkan kepada Dewan Rakyat untuk membahas dan membatalkan Proklamasi Darurat termasuk Ordinan-Ordinannya.

Presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendirian berkenaan perlu dizahirkan oleh semua Ahli Parlimen UMNO menerusi undi.

Jelas beliau, ketetapan tersebut berpandukan kepada beberapa asas utama termasuklah penolakan rakyat terhadap Proklamasi Darurat.

“Pelaksanaan Darurat yang ternyata gagal untuk mengekang dan menangani Pandemik Covid-19, sebaliknya sebagai muslihat politik dan alat memandulkan sistem demokrasi berParlimen.

“Memenuhi dan mentaati Perlembagaan Persekutuan berasaskan Perkara 150(3) yang mengkehendaki Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinannya bukan sekadar dibahas tetapi ditentukan keabsahannya sama ada diluluskan atau dibatalkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Selain itu menurut Zahid, berdasarkan Perkara 150 (7) Perlembagaan Persekutuan, Ordinan-Ordinan Darurat akan berlanjutan selama enam bulan sekiranya tidak dibatalkan.

Katanya, ini bertentangan dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 29 Oktober 2020, 25 April, 16 Jun dan yang terbaharu 7 Julai 2021.

“Memenuhi dan mentaati ketetapan parti pada 25 April 2021 bahawa sekiranya Darurat (Proklamasi dan Ordinan-Ordinannya) diteruskan selepas 1 Ogos 2021, maka Ahli-Ahli Parlimen akan menarik sokongan dan MenteriMenteri, Timbalan-Timbalan Menteri dan Pengerusi-Pengerusi GLC daripada UMNO akan meletakkan jawatan,” katanya lagi.

Tambah beliau lagi, titah yang dizahirkan oleh Tuanku Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja bahawa Ordinan-Ordinan Darurat perlu dibahaskan di Parlimen seiring sekiranya Proklamasi Darurat diteruskan selepas Ogos juga perlu ditaati.

Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 selama lima hari bakal berlangsung bermula esok hingga 29 Julai dan 2 Ogos 2021 bagi Dewan Rakyat.– MalaysiaGazette