KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan seorang lelaki yang meragut rantai warga emas di sebuah flat di Selayang Makmur, Batu Caves pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihaknya mengetahui mengenai kejadian samun berkenaan selepas tularnya sebuah video yang berdurasi 50 saat di media sosial.

Jelasnya, kejadian berlaku pada jam 8.30 pagi ketika mangsa yang merupakan wanita berumur 57 tahun bersama suaminya hendak menaiki kenderaan e-hailing di tempat letak kereta di flat berkenaan untuk ke hospital.

Katanya, suspek yang menunggang motosikal jenis Yamaha NVX berwarna merah tiba-tiba meluru ke arah wanita itu dan meragut rantai emasnya yang bernilai RM3,500.

Zainal berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan atas jenayah rompak.

Sekiranya didapati bersalah, lelaki tersebut boleh dipenjarakan sehingga 14 tahun atau dikenakan sebat, ujarnya.

Justeru, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta tampil untuk membantu siasatan polis.

“Maklumat boleh disalurkan di mana-mana balai Polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Amirul melalui nombor talian 03-61262222/ 019-3491233,” katanya menerusi kenyataan. – MalaysiaGazette