Penghuni PERNIM kini memerlukan bantuan makanan dalam bentuk bungkusan untuk makanan pagi, tengahari dan malam.

KUALA LUMPUR – Lebih separuh anak-anak Persatuan Kebajikan Anak Kepada Pesakit HIV/AIDS Nurul Iman Malaysia (PERNIM) di Kampung Cheras Baru, Cheras telah disahkan positif sejak minggu lalu.

Yang Di-Pertua PERNIM, Norlina Alawi berkata, pihaknya reda dengan apa yang berlaku dan berusaha mengumpul kekuatan dan semangat agar anak-anak diberi rawatan dan perhatian yang sewajarnya.

Jelas beliau, selepas kes yang dijangkiti di kawasan tempat tinggal itu semakin meningkat, pihaknya berjaga-jaga dan menasihati penghuni supaya menjaga jarak dan standard prosesur operasi (SOP) walaupun dalam rumah sendiri.

“Anak-anak yang keluar bekerja juga saya nasihatkan balik rumah terus bersihkan diri dan jaga jarak tetapi kita tidak tahu daripada mana puncanya virus ini.

“Saya sangat bimbang jika seorang dijangkiti, ia pasti cepat merebak kepada anak-anak yang lain kerana rumah kami bukan luas. Mereka berkongsi bilik, makan semeja dan tinggal dalam rumah yang sama.

“Kenyataan ini walaupun pahit untuk diterima dan meruntun hati keibuan saya , namun pasrah dan mesti pantas bertindak,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sejak minggu lalu, seramai 17 penghuni itu telah disahkan positif Covid-19.

Norlina mengakui sukar menjarakkan anak-anak yang positif wabak kerana mereka memerlukan anak-anak yang lain termasuk yang sihat untuk membantu sesama mereka  yang mengalami gejala demam dan simptom lain.

“Sayu hati melihat mereka mengadu sakit-sakit badan, pening kepala dan demam tapi apa yang boleh saya dilakukan tenangkan mereka dan bagi makan ubat.

“Saya juga mohon pihak kementerian kesihatan menghantar wakil mereka ke rumah ini dan menjelaskan apa yang sepatutnya saya dan anak-anak lakukan kerana ini pengalaman pertama yang kami hadapi,” katanya.

PERNIM yang  juga dikenali sebagai Pertubuhan Keluarga Besar Norlina Alawi Berhad (KBNAB) diasaskan oleh Norlina Alawi sejak 20 tahun lalu tinggal dirumah di Cheras Baru  sejak tahun 2007.

Selain didiami keluarga kandung Norlina sendiri, penghuni lain anak-anak yatim yang ada antara mereka adalah pesakit HIV/AIDS, anak tidak sah taraf dan anak-anak yang waris enggan memelihara mereka kerana bimbang dijangkiti HIV seramai 40 orang.

Bagaimanapun masing-masing ada yang telah berkahwin dan berpindah, sedang melanjutkan pelajaran di menara gading dan di kolej dan juga yang telah bekerja dan tinggal di luar daerah.

“Saya dibantu anak-anak berniaga kecil-kecilan daripada rumah  untuk mencari punca pendapatan bagi menambung perbelanjaan keluarga besar kami yang mencecah lima angka sebulan.

“Sejak virus Covid-19 ada di dalam rumah,  saya kelam kabut , perniagaan juga ditutup dan menjadi tidak tentu arah menguruskan mereka menjalani pemeriksaan. Salah seorang anak penghidap HIV/AIDS pula sedang kritikal dan doktor menasihatkan kami membawanya pulang dan reda menerima segala kemungkinan akan kehilangannya.

“Tiba-tiba dikejutkan dengan jangkitan ini dalam kalangan anak-anak dalam jumlah yang ramai, saya masih dalam keadaan terkejut dan berharap, anak-anak semua kuat dan tidak patah semangat untuk bangun dan sembuh seperti biasa.

“Saya dan anak-anak yang masih sihat akan terus berada di sisi mereka dan membantu apa juga keperluan yang terdaya kami sediakan dan berharap pihak-pihak berkenaan datang menghulurkan nasihat dan tindakan,” ujarnya.

Tambah lagi buat masa sekarang disebabkan semua yang tinggal di rumah sama ada positif atau negatif  terpaksa dikuarantin di dalam bilik, beliau amat memerlukan bantuan makanan dalam bentuk berbungkus untuk makanan pagi, tengahari dan malam.

Selain itu, keperluan harian juga diperlukan seperti cadar, tuala, pampers dewasa dan kanak-kanak, cecair pembersih lantai, pakaian dan mandian, susu bayi.

Sekiranya  ada pihak-pihak yang mahu menghulurkan bantuan, mereka boleh salurkan di akaun RHB Bank: Persatuan Kebajikan Anak Pesakit HIV/AIDS Nurul Iman Malaysia – 26412400017776 (penyumbang layak mendapat pengecualian cukai). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast