Polis tumpaskan sindiket pengedaran dadah susulan tangkapan enam suspek termasuk dua pasangan suami isteri.

SEBERANG PERAI – Dua pasangan suami isteri antara enam yang ditahan selepas dipercayai terlibat dengan sindiket pengedaran dadah di Pulau Pinang sejak Januari lalu.

Kesemua empat lelaki dan dua wanita yang berusia lingkungan 27 hingga 40 tahun itu diberkas dalam tiga serbuan di sekitar Juru, Butterworth dan Simpang Ampat bermula Khamis hingga semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, hasil tiga serbuan pihaknya berjaya merampas 4.6 Kilogram dadah disyaki heroin, dan 986 gram Syabu yang dianggarkan bernilai RM86,768.

Mustafa Kamal (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas pihak polis.

Jelas beliau, serbuan pertama pada Khamis lalu membawa kepada tangkapan dua lelaki berusia 34 dan 40 tahun bersama 4,524 gram heroin di dalam kereta di tepi jalan di Juru.

“Hasil tangkapan itu membawa kepada satu lagi tangkapan seorang lelaki berusia 30 tahun di tempat mencuci kereta di kawasan sama. Dalam serbuan itu kita menemui 228 gram syabu di dalam beg miliknya.

“Siasatan lanjut ke atas lelaki itu membawa kepada penemuan 758 gram syabu di sebuah pangsapuri di Simpang Ampat. Turut ditahan, isterinya yang juga seorang guru tadika swasta berusia 27 tahun.

Turut dirampas bahan serta barang memproses dadah.

“Susulan itu, kita serbu sebuah lagi pangsapuri di Butterworth yang dijadikan tempat memproses dadah sebelum menahan sepasang suami isteri,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Dearah Seberang Perai Tengah hari ini.

Dalam serbuan itu, pihak polis turut menyita sebuah motosikal, tiga kereta serta sejumlah wang tunai.

Mengulas lanjut Mustafa Kamal berkata, hasil siasatan lanjut mendapati sindiket itu mendapat bekalan dari Kedah dan Pulau Pinang selain mengaut keuntungan RM700 bagi setiap paun heroin yang dijual.

“Sindiket ini dipercayai membeli dadah pada harga RM2,700 satu pound dan ia akan jual pada RM3,400 sekali gus mereka mampu mengaut keuntungan RM700.

“Mereka aktif mengedar dadah sekitar Juru, Perai, Seberang Jaya serta Butterworth sejak Januari lalu.

Wang tunai serta dadah heroin yang dirampas polis.

“Semakan mendapati empat suspek lelaki itu mempunyai rekod lampau dan positif dadah,” kata beliau.

Kesemua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, dan Seksyen 15(1)(a) akta sama. – MalaysiaGazette