Dr Anthony Fauci. foto Agensi

WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) didakwa menuju “ke arah yang salah” susulan peningkatan kes dalam kalangan individu yang tidak divaksinasi.

Dr Anthony Fauci yang memberi amaran itu berkata, varian Delta Covid-19 telah mencetuskan lonjakan kes di kawasan yang masih mempunyai kadar vaksinasi rendah.

Penasihat Kesihatan Presiden Joe Biden itu berkata, pihak kesihatan negara itu sedang mempertimbangkan untuk mengkaji garis panduan pemakaian pelitup muka untuk individu yang sudah divaksinasi bagi membendung kes.

Katanya, pihak kesihatan turut mengkaji bagi menawarkan suntikan penguat untuk golongan rentan.

Situasi koronavirus di Amerika Syarikat menjadi “pandemik dalam kalangan individu yang tidak divaksinasi,” kata Dr Fauci.

Lebih daripada 162.7 juta orang – atau 49% penduduk – telah divaksinasi sepenuhnya di AS, menurut data.

AS telah mendahului dunia dalam pengambilan suntikan hingga April, ketika kadar vaksinasi mulai menurun.

Kadar vaksinasi sangat rendah di negeri-negeri selatan, yang mana kurang daripada separuh penduduk telah menerima dos pertama.

Kes ketara di negeri-negeri seperti Florida, Texas dan Missouri.

Sementara itu, jangkitan koronavirus meningkat lagi setelah jumlahnya jatuh pada bulan Mei dan Jun.

Peningkatan kes itu telah menambah lebih daripada 34 juta kes dan 610,000 kematian direkodkan setakat ini di AS.- MalaysiaGazette