Bekas Timbalan Yang Dipertua sebuah majlis daerah telah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)bagi membantu siasatan kes membolot projek bernilai jutaan ringgit di negeri Selangor, Foto SPRM.

PUTRAJAYA – Bekas Timbalan Yang Dipertua sebuah majlis daerah telah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)bagi membantu siasatan kes membolot projek bernilai jutaan ringgit di negeri Selangor.

Suspek yang kini merupakan Setiausaha Bahagian di sebuah agensi di kerajaan Negeri Selangor telah direman mulai hari ini untuk disiasat dalam kes itu yang disyaki dilakukannya semasa suspek menjawat jawatan Timbalan YDP majlis daerah negeri berkenaan sejak 2015 hingga tahun lalu.

Lelaki berusia 42 telah direman selama lima hari bermula hari ini sehingga 30 Julai ini selepas Majistret Shah Wira Abdul Halim membenarkan permohonan reman yang dikemukakan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Difahamkan, suspek telah ditahan malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya sebagai membantu siasatan kes itu.

Menurut sumber, suspek dipercayai telah menerima pelbagai jenis suapan daripada kontraktor seperti pembiayaan kos pengubahsuaian rumah bernilai kira-kira RM18,000, wang tunai anggaran RM38,000 serta deposit kereta mewah sebanyak RM75,000.

“Selain itu, suspek dikatakan turut menerima bayaran bulanan kira-kira RM3,000 sebulan sejak 2018 hingga kini serta bayaran pembelian televisyen dan jam mewah sebagai balasan untuk membantu syarikat-syarikat milik kontraktor mendapatkan kerja-kerja pembersihan kawasan, penyelenggaraan, lain-lain kerja secara sebut harga dan tender di sekitar Selangor,” ujar sumber berkenaan.

Dalam pada itu, sumber sama menyatakan bahawa seorang suspek bekas YDP yang pernah ditahan SPRM sebelum ini dikatakan telah mengarahkan kontraktor untuk memberi rasuah dalam bentuk wang deposit dan diskaun keseluruhan kira-kira RM500,000 bagi membeli sebuah rumah teres dua tingkat bernilai kira-kira RM1 juta dari sebuah syarikat pemaju terkenal.

“Suspek dipercayai menerima diskaun serta wang deposit tersebut bagi pembelian rumah berkenaan atas nama kontraktor itu.

“Perbuatan itu sebagai balasan kepadanya yang meluluskan kebenaran merancang bagi projek yang dibangunkan oleh syarikat pemaju terkenal,” katanya.

Katanya, difahamkan akan ada lagi tangkapan melibatkan beberapa individu berhubung siasatan kes ini.-MalaysiaGazette