ACP Beh Eng Lai

KUALA LUMPUR – Seorang pemuda berpangkat Datuk Seri yang ditahan polis sejak 22 Julai kerana disyaki menipu pelakon, Datuk Fizz Fairuz akan didakwa di Mahkamah Majistret di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di sini, esok.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya telah mengemukan kertas siasatan membabitkan suspek berusia 26 tahun itu kepada Timbalan Pendakwa Raya pada pagi tadi.

“Pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Sentul kemudian menerima keputusan arahan untuk mendakwa suspek di Mahkamah Majistret KL pagi esok (Selasa) atas kesalahan menipu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, suspek telah direman selama dua hari di lokap Balai Polis Jinjang sejak semalam untuk membantu siasatan kes di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Menurut beliau, polis telah menerima laporan daripada Fizz Fairuz pada 21 Julai lalu yang mendakwa mengalami kerugian kerana menjadi mangsa penipuan kontrak DBKL yang ditawarkan suspek.

“Dia dalam laporan polis itu mendakwa telah mengalami kerugian RM18,100 disyaki ditipu suspek.

“Siasatan polis mendapati mangsa telah berkenalan dengan suspek yang memperkenalkan dirinya sebagai Datuk Seri menawarkan tender projek pembersihan dari DBK,” ujarnya.

Mangsa kemudiannya diminta untuk membayar satu peratus bon daripada nilai harga tender projek yang ditawarkan sebagai wang cagaran, tambah beliau.

Berikutan itu, jelasnya, mangsa telah memindahkan wang berjumlah RM18,100 ke dalam akaun peribadi suspek seperti diarahkannya.

Tambah beliau, setelah membuat pembayaran mangsa menghubungi suspek untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan tawaran projek tersebut namun alasan diberikan sebelum suspek menghilangkan diri. – MalaysiaGazette