Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 02 OGOS 2018.
Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak sepatutnya menghadkan peruntukan RM300,000 yang diberikan baru-baru ini kepada bantuan makanan sahaja menerusi Program Bakul Makanan.

Steven Sim (PH-Bukit Mertajam) berkata, Ahli Parlimen sepatutnya diberi kelonggaran untuk menentukan bentuk bantuan yang disalurkan kepada penduduk.

Ini kerana, jelas beliau, masalah yang dihadapi oleh rakyat adalah berbeza dan bukan setakat makanan sahaja.

“Jangan hadkan bantuan makanan semata-mata. Kalau perdana menteri dan menteri turun padang, kita dapat lihat keperluan semasa rakyat berbeza-beza.

“Ada yang hilang pendapatan, tidak dapat bayar bil utiliti dan tidak dapat bayar bil rawatan doktor.

“Saya mengharapkan supaya peruntukan penuh diberikan kepada semua Ahli Parlimen seperti yang diterima Ahli Parlimen kerajaan dan beri kelonggaran untuk Ahli Parlimen menentukan bentuk sumbangan boleh diberikan kepada rakyat,” katanya pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini. – MalaysiaGazette