Sekumpulan doktor kontrak berkumpul bagi menyahut seruan gerakan Hartal Doktor Kontrak susulan rasa tidak puas hati dengan cara pengendalian isu tersebut di Hospital Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 26 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Kira-kira lebih 50 doktor kontrak Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini hari ini berhimpun beramai-ramai menyatakan bantahan terhadap kerajaan yang didakwa masih belum menyerap mereka sebagai pegawai perubatan tetap.

Mereka berkumpul di lobi utama HKL sejak pukul 10.55 pagi dan kemudiannya berarak secara aman ke bangunan tempat letak kereta yang terletak kira-kira 100 meter.

Mereka kemudian mendukung plakad yang tertera “Nak Tetap, Bukannya Kontrak, Pakar Masa Depan” dan tanda pagar “Tetap Lawan” di parkir bertingkat itu.

Wakil doktor kontrak yang menamakan diri sebagai Dr. Mohammad berkata, pihaknya tidak berniat melakukan  demonstrasi menentang kerajaan, sebaliknya memohon kerajaan memberikan hak sama rata kepada mereka dengan menyerap sebagai pegawai berstatus tetap dalam kerajaan.

“Kami ada beberapa tuntutan iaitu hak melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi perubatan, keduanya, diserap sebagai status pegawai tetap kerajaan.

“Ramai dalam kalangan kami bertugas menjaga pesakit Covid-19 sejak tahun lepas dan ada lebih kurang 150 orang berhenti kerja sebab terlalu penat dengan sistem kesihatan sedia ada,” katanya ketika ditemui hari ini.

Sekumpulan doktor kontrak berkumpul bagi menyahut seruan gerakan Hartal Doktor Kontrak susulan rasa tidak puas hati dengan cara pengendalian isu tersebut di Hospital Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 26 JULAI 2021.

Mengenai kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah yang menyeru para doktor kontrak supaya tidak menyertai himpunan Hartal Doktor Kontrak sambil menyatakan akta berkaitan sedang dalam pindaan bagi membolehkan penyerapan sebagai pegawai tetap boleh dilaksanakan kelak, ia disambut baik pihaknya.

Mereka juga, katanya, menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melanjutkan tempoh kontrak para doktor berkenaan.

“Bagaimanapun, ia langsung tidak menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam mendengar tuntutan kami awal Jun lalu yang mendesak kerajaan supaya menyerap kami sebagai pegawai perubatan tetap seperti mana yang lain dalam kerajaan ketika ini.

“Kami sudah sebulan tunggu respon kerajaan untuk tuntutan kami ini, sehingga kini tidak ada perincian mengenainya baik dari PM mahu pun Kementerian Kesihatan.. jadi kami masih berharap kerajaan menunaikan tuntutan kami iaitu mengesahkan kami sebagai pegawai tetap,” tegasnya.

Perarakan aman itu bersurai sekitar 11.31 pagi tadi dan sejumlah lebih 30 anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi turun memantau situasi himpunan Hartal Doktor Kontrak pagi tadi di HKL yang diadakan secara serentak di beberapa hospital seluruh negara.-MalaysiaGazette